Isu LCS: Ahmad Maslan Saran Tubuh RCI, Ada Mainan Persepsi Berniat Jahat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat lontaran Pergerakan Pemuda UMNO semalam yang  menggesa dan mendesak kerajaan agar segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat secara bebas dan menyeluruh mengenaj isu Kapal Tempur Pesisiran (LCS) ada kewajarannya.

Katanya, ini kerana ada pihak bermain persepsi dan ia ‘jahat’.

“Apabila berlaku permainan persepsi seolah-olah memperlihatkan bahawa kita bersalah,” ujarnya.

Beliau berpandangan anggota RCI yang dibentuk kelak tentunya daripada tokoh-tokoh yang pelbagai latar belakang dan ini sudah pasti akan bebas daripada sebarang pengaruh serta sentimen politik tertentu.

“Pada sayalah, apa yang berlaku ini perlu ditubuhkan RCI barulah kita akan menapat maklumat yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh sentimen politik. Apabila pengerusi daripada Dap mengumumkan keputusan berkenaan, maka kita tidak akan dapat mengelak daripada sudut pandangan orang bahawa isu ini dipolitikkkan sebab jawatankuasanya semua orang politik.

“Tetapi kalau RCI jawatankuasanya bukan orang politik malah daripada pelbagai latar belakang, jadi saya kira saranan oleh Pemuda UMNO semalam mengenai wajar ditubuhkan RCI perlu diperhalusi dan umumkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara yang bertajuk ‘UMNO Bangkit, Lawan Menang’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, di sini, malam tadi. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Ahmad seterusnya menambah serangan yang bertali arus terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) sememangnya sudah dijangka apatah lagi menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Sebelum ini dengan kenaikan harga barang… kemudiannya ini dapat dikawal manakala harga ayam pun dah stabil malah dilihat semakin stabil. Ingatkan hari itu ianya adalah bom atom sebelum pilihan raya tetapi ada satu perkara lain iaitu berkaitan kapal LCS ini.

“Jadi pada saya untuk menyelesaikan, saya kira tidak perlu diberikan kepada orang politik…. Macam PAC semua orang politik tidak kiralah daripada parti mana sekali pun. Pengerusinya daripada Dap akan lihat daripada sudut kepentingan politik dan jangan mahu berbohonglah… oleh itu RCI sewajarnya ditubuhkan,” tambahnya.

Berkongsi lebih lanjut soal berkenaan Ahmad berkata, isu berkenaan melibatkan ‘background’ tertentu.

“Pada zaman Tun Dr Mahathir dahulu misalnya diberikan kepada Tan Sri Amin Shah untuk buat 26 kapal kemudiannya gagal, selepas itu Boustead ambil alih dan berjaya buat enam. Apabila berjaya maka untuk LCS ini diberikan juga kepada Boustead. Boustead ini adalah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

“Tetapi saya difahamkan bahawa ada pertukaran spesifikasi daripada yang kurang sesuai kepada yang lebih sesuai kerana kita berdepan musuh-musuh laut dan sebagainya… maka akibat daripada pertukaran spesifikasi adalah kenaikan kos dan sebagainya.

“Tetapi apa yang berlaku pada tahun 2018 kononnya mahu disiasat semua oleh kerajaan PH… tidak ada salah pun Datuk Seri Najib dan tidak ada salah pun Datuk Seri Ahmad Zahid serta Datuk Seri Hishammuddin. Jadi apabila disiasat tiadalah personaliti ini dikaitkan dan memang tidak ada kaitan.

“Kemudiannya kelewatannya akibat daripada PH yang merupakan kerajaan baharu pada waktu itu telah mengakibatkan ia terhenti, kemudiannya wabak COVID satu lagi kelewatan. Jadi sama ada wujud penyelewengan atau tidak SPRM pun dah masuk serta belum umumkan apa-apa,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.