Ingatlah Janji Palsu Kerajaan 22 Bulan, Terus Fokus Bersama UMNO/BN – Norsabrina

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berharap agar masyarakat khususnya pengundi tidak akan lupa dengan janji-janji palsu kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang banyak menyulitkan dan menjadikan negara caca marba.

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu tentunya tidak akan dapat dilupakan malah sewajarnya janji-janji palsu dan pelbagai manipulasi serta fitnah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi bukti bahawa PH tidak berkaliber untuk diberi mandat.

“Sekarang kita dah mula lakukan persediaan ke arah PRU-15 dan nampaknya pihak sebelah sana mula kembali dengan macam-macam manipulasi dan persepsi untuk memburukkan UMNO/BN.

“Sepatutnya mereka ceritalah apa yang nak ditawarkan kepada rakyat dan bukannya mencipta isu sensasi sebagaimana Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) sedangkan ia adalah melibatkan pertahanan dan keselamatan negara.

“Yang peliknya kenapa mereka nak persoalkan tentang isu ini sekarang sedangkan mereka menjadi kerajaan pusat 22 bulan, Menteri Pertahanan dan Timbalannya pun dari mereka,” bidas Norsabrina berkaitan isu terbabit kepada UMNO Online.

Katanya, sepatutnya persoalan yang ditimbulkan adalah tentang projek terowong dasar laut yang langsung tak nampak apa-apa sedangkan sebelum ini mereka bersungguh hinggakan ratusan juta sudah dibayar.

“Kita perlu berpijak pada realiti dan apa-apa perkara yang sampai kepada kita mesti diperhalusi kerana sekarang ini PH kembali dengan macam-macam isu yang cuba untuk mengelirukan rakyat berkaitan dengan UMNO/BN.

“Jangan lupa janji-janji PH dulu konon nak bagi pendidikan percuma termasuk kepada orang muda nak hapuskan hutang PTPTN, kata nak bantu kurangkan kos hidup rakyat dan nak berikan lebih banyak peluang pekerjaan sedangkan anak muda yang ramai menganggur.

“Dicanang negara nak bankrap, janji nak hapuskan tol, nak naikkan bantuan kepada orang bujang, nak bantu perumahan rakyat, nak bantu orang kampung, nak naikkan gaji minimum dan nak macam-macam lagilah sampaikan kereta terbang pun dijanjikan.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kembali agar fokus terus kepada masa hadapan dan jangan terpedaya lagi apa-apa yang dilontarkan pembangkang.

“Kita dah merasa hidup dalam PH 22 bulan dan tak perlulah kita berikan peluang lagi kepada mereka yang secara terang-terangan menipu kita.

“Fokus kita hari ini adalah untuk UMNO/BN kerana bukti yang nyata dan bercakap berlandaskan kebenaran serta bukti yang nyata,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.