Elak Bersaing Antara Sendiri Dalam Usaha Pembangunan Bersifat Wilayah

KANGAR, 11 Ogos – Pembangunan bersifat wilayah yang melibatkan negeri-negeri jiran perlu dilakukan secara bersama dan perlu saling melengkapi antara satu sama lain bagi mengelak berlakunya persaingan tidak sihat yang akhirnya akan merugikan negara.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata situasi persaingan dalam membangunkan negeri masing-masing tidak sepatutnya berlaku kerana membawa matlamat yang sama iaitu masing-masing ingin menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada titah sempena Perasmian Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 pada Selasa (9 Ogos) telah menzahirkan rasa dukacita apabila wujud persaingan tidak sihat dalam usaha menbangunkan wilayah dan kawasan berjiran,” katanya pada persidangan DUN Perlis hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Tambun Tulang) mengenai titah Raja Perlis menzahirkan kebimbangan situasi Beggar thy neighbour yang hanya merugikan dan patut dielakkan.

Baginda dalam titahnya meminta agar usaha pembangunan wilayah antara negeri berjiran dilakukan secara Proser thy neighbour (memakmurkan jiran) kerana akan menguntungkan semua pihak.

Azlan berkata sebagai contoh usaha Perlis untuk bangunkan projek pelabuhan darat dengan memulakan inisiatif seawal tahun 2014 bagi mewujudkan Perlis Inland Port (PIP) dan telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.

“Adalah bahaya jika kita bersaing untuk melakukan benda yang sama melalui projek pembangunan bersifat wilayah kerana ibarat saling membunuh satu sama lain dan saya sendiri telah bangkitkan perkara ini pada mesyuarat tertinggi bersama Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah satu sumbangan ekonomi kepada kerajaan Persekutuan dan Perlis mempunyai kelebihan kerana mempunyai jalan kereta api yang telah sedia ada.

“Kami ingin maksimum kemudahan sedia ada, ini kerana tidak sampai lima peratus jalan kereta api menghubungan Padang Besar-Selatan Thailand diguna untuk pengangkutan kargo dan tidak sampai 30 peratus untuk penumpang,” katanya.

Katanya pelaburan Malaysia-Thailand dijangka melibatkan nilai perdagangan sebanyak US$30 bilion dan perlu dikongsi secara bersama tanpa perlu bersaing antara satu sama lain. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.