Wajar Tubuh RCI Siasat Menyeluruh Isu Kapal LCS

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memperhalusi polemik mengenai isu perolehan 6 Kapal Tempur Persisiran (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti yang dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuduh menuduh, andaian demi andaian serta provokasi oleh pelbagai pihak mengenai perkara ini amat tidak sihat dikalangan rakyat dan memberikan persepsi tidak baik mengenai aset-aset sensitif ketenteraan, kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

“Pemuda UMNO Malaysia berpendapat perlu ada satu titik noktah yang berautoriti agar semua pihak terutamanya pengguna akhir iaitu TLDM dapat mencapai objektif asal kepada perolehan ini seterusnya menjamin keupayaan pertahanan TLDM untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Malah, kepimpinan UMNO yang berada di dalam Kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan agar siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan PAC dapat dilakukan segera.”

Justeru, katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar pihak Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat Malaysia. – UMNO Online