Penglibatan Pelabur Swasta Pulih Kembali KDNK Perlis

KANGAR, 10 Ogos – Usaha kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan khususnya projek infrastruktur menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan swasta di negeri ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perlis selepas pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata KDNK Perlis pada 2021 telah meningkat sebanyak 1.5 peratus atau RM5.9 bilion.

“KDNK Perlis menyusut sebanyak enam peratus pada 2019. Bagi menghadapi masalah itu, kerajaan negeri telah melaksana pelbagai usaha memastikan bahawa ekonomi negeri kembali ke landasan asal,” katanya pada hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Tambun Tulang) mengenai prestasi yang dicapai oleh kerajaan negeri dalam usaha memulihkan (KDNK) selepas memasuki era Endemik.

Azlan (BN-Bintong) berkata sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar bagi KDNK 2021 iaitu sebanyak 70.2 peratus, sektor pertanian (17.4 peratus), sektor pembuatan (lapan peratus) , sektor pembinaan (2.6 peratus) dan sektor perlombongan dan kuari (0.5 peratus).

“Kita juga telah memperkenalkan pakej insentif pelaburan pasca-COVID-19 yang merangkumi eleman fiskal dan bukan fiskal bagi menarik lebih ramai pelabur datang ke Perlis.

Katanya, beliau yakin peranan dimainkan oleh pihak swasta ini akan menyumbang kepada peningkatan KDNK pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.

“Sehingga Julai 2022 nilai keseluruh pelaburan swasta di negeri ini mencecah 25.16 bilion,” katanya.

Azlan berkata bagi merangsang ekonomi, kerajaan juga memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melibatkan 338 projek kecil yang dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi negeri.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta lagi untuk membiayai projek-projek kecil melibatkan 448 projek di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat Ekonomi (PEMERKASA),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.