Ke Arah PRU15: Setiap Bahagian UMNO Di Sabah Diminta Kemukakan Lima Calon
KOTA KINABALU, 10 Ogos – UMNO di semua bahagian di negeri Sabah diminta mengemukakan lima senarai calon untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata senarai tersebut perlu dikemukakan segera kepada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk penilaian awal bagi menghadapi PRU ke-15 yang kini berada di ambang pintu.
“Senarai tersebut perlu dikemukakan segera, sama ada individu yang dicadangkan mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting ianya berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.
“Ini kerana matlamat kita pada PRU ke-15 ini adalah memenangi setiap kerusi yang ditandingi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO baru-baru ini.
Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, setiap senarai yang ditampilkan akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan kepada maklum balas rakyat di akar umbi di samping laporan dari agensi berkaitan yang turut dinilai untuk menentukan calon yang benar-benar layak.
Bung berkata, dalam menentukan calon pada PRU ke-15 kali ini konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) akan menjadi garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti.
Jelasnya personaliti calon merupakan elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk UMNO/Barisan Nasional (BN).
“Kebolehmenangan harus jadi keutamaan walaupun orang itu bukan penjawat utama di peringkat bahagian tetapi mempunyai daya kebolehmenangan yang tinggi juga akan menjadi kriteria pemilihan akhir calon.
“Orang boleh terima tetapi tidak tentu orang suka jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen ini untuk menjadi seorang calon,” katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berharap semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini mengemas kini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya golongan muda yang akan turut memilih pada PRU ke-15 kali ini.
“Pastikan daftar pemilih dan bilik gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam bahagian dan cawangan telah dikemas kini dan mereka perlu mengadakan simulasi bagi mengenal pasti kekuatan parti,” tambah Bung.
Beliau berkata jentera BN dan UMNO perlu memastikan agar hati dan pemikiran pengundi di kawasan tumpuan itu dapat dimenangi supaya kerusi terbabit menyumbang kepada majoriti yang diperlukan.
“Saya merasakan bahawa seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha (jentera BN dan UMNO) melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat kita peroleh semula kemenangan.”
Sehubungan dengan itu Bung mengingatkan setiap cawangan UMNO di semua bahagian perlu diberikan sokongan untuk mengadakan kegiatan-kegiatan parti agar jalinan kerjasama antara pemimpin dan ahli dapat diwujudkan bagi memperkukuhkan lagi kekuatan bagi menghadapi PRU ke-15 kali ini. – UMNO Online