Ahmad Zahid Persoal Benarkah PN Berjaya Kemudi Krisis Kesihatan, Ekonomi Negara…

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan, benarkah Perikatan Nasional (PN) berjaya mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi seperti yang cuba dinaratifkan oleh Pengerusi PN di Facebook?

Dalam hal ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengimbas kembali berkaitan hutang negara bertambah 46% dalam masa yang begitu singkat dan had hutang kerajaan terpaksa dinaikkan dua kali dari 55% ke 60% dan ke 65%.

“Ekonomi merudum, manakala pendapatan rakyat terkesan dan hasil kerajaan dari cukai korporat serta cukai peribadi turut merosot.

“Pertumbuhan KDNK negara dan jumlah pelaburan asing jatuh antara paling rendah. Pasaran saham Malaysia menjunam dan menjadi pasaran saham dengan prestasi antara paling corot dalam dunia.

“Dividen-dividen untuk rakyat jatuh teruk berbanding sebelum PRU14 dan memberi tekanan lebih besar kepada pendapatan tahunan rakyat Malaysia. Rizab tunai Petronas diijarah dalam masa 4 tahun termasuk semasa dia menjadi anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Soal Ahmad Zahid lagi, benarkah PN memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat akibat pandemik COVID-19?

“Mari kita ‘refresh’ tujuh sebab UMNO terpaksa menarik balik sokongan (jawatan Perdana Menteri) kepada pemimpin utama PN yang akan mengetuai PN dalam PRU-15 itu.

Pertama, kegagalan PN menangani pandemik COVID-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat iaitu sebanyak 12,784 nyawa maut, 1.42 juta kes jangkitan dan 249,277 kes aktif sebelum dia terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri.

Kedua menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara. Ordinan Darurat ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka terbeban dengan isu kelangsungan hidup.”

Ketiga katanya, kegagalan PN mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela.

Keempat, kegagalan PN menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

“Termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan.”

Terangnya, kelima ialah kegagalan PN memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh.

“Darurat serta PKP separuh masak antara tempoh paling lama dalam dunia sehingga rakyat hilang mata pencarian, berlaku kes bunuh diri dan rakyat terpaksa naikkan bendera putih merayu sumbangan makanan

Keenam, kegagalan PN mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian COVID-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

“Memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan raja pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media serta titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.”

Tegas Ahmad Zahid, jangan lupa antara pendekatan paling membantu sebahagian rakyat ketika pandemik adalah melalui kebenaran pengeluaran wang KWSP.

“Dia Perdana Menteri yang memberi pelbagai alasan dan sindiran kepada desakan UMNO/BN berhubung perkara itu dan selepas terpaksa meluluskan dia ‘angkat bakul sendiri’ pula.

“Insya-Allah apabila BN kembali sebagai kerajaan dominan kita akan cari kaedah paling berkesan bantu rakyat pulihkan semula jumlah simpanan yang telah dikeluarkan demi keperluan mendesak.

“Lebih 17,500 kes muflis dilaporkan sejak 2020. Melayu paling banyak terlibat kes muflis iaitu sebanyak 10,267 dan diikuti Cina (4,447), lain-lain (1,516) serta India (1,321).”
Dalam hal hantaran berkenaan beliau juga menjawab berkaitan isu Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang dikaitkan dengannya.

“Berkenaan kenyataannya cuba mengaitkan saya dalam isu Kapal LCS, saya telah pun perjelaskan perihal itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Oktober tahun lalu,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.