Selepas PH Dan PN, Terbukti Hanya BN Yang Jaga Kepentingan Semua Kaum

KOTA KINABALU, 9 Ogos – Selepas melalui pentadbiran dalam kerajaan yang berbeza iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), terbukti hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu menjaga kepentingan semua kaum dalam negara.

Hal ini diakui oleh Ketua Kaum Kadazan-Dusun Murut (KDM) Putatan, Joan @ Benedict Steven yang merupakan bekas Parti Warisan.

Katanya yang juga Ketua Bahagian PBRS N23 Petagas dan P173 Putatan, BN terbukti memainkan peranan yang amat besar kepada semua kaum sedangkan PH-Warisan dan PN adalah sebaliknya.

“Sebelum ini saya adalah pencadang kepada calon Petagas, Uda Sulai yang juga penceramah bagi menentang calon BN Sabah namun selepas mereka menang dan menjadi wakil rakyat, orang seperti saya tidak lagi dipedulikan,” katanya.

Jelas beliau, kepimpinan dalam PH dan PN tidak fokus kepada rakyat khususnya kaum KDM.

“Pemimpin-pemimpin Warisan ada yang ego, tidak mahu tengok pejuang lama, anggap orang baharu saja boleh buat kerja, bagi penghargaan hanya kepada orang baharu.

“Orang yang berjuang seperti kami ini ditinggalkan apabila dah menang. Sepatutnya berjuang sebagai satu parti dan apabila dah menang maka berilah ruang.

“Nampak BN lebih baik, diberikan lebih banyak peranan dan semua kaum diambil berat. Dari dulu Warisan macam tidak pandang, tidak bagi muka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, ketika dalam PH beliau telah memohon untuk mewujudkan kuota bagi KDM namun tidak diendahkan.

“Saya yang mohon dan ajukan kepada Warisan untuk kuota KDM tapi sampai lebih dua tahun, tak ada. Itu saya punya peranan untuk menjaga KDM. Bukan rasis tapi kita sudah berbincang dan saling akan bekerjasama dalam satu ‘rumah’.

“Sekarang saya percaya kepada konsep BN iaitu berkongsi kuasa. Ini menyedarkan saya bahawa BN memberi respon yang baik kerana itulah kawan kita yang sentiasa bersama-sama,” katanya lagi. – UMNO Online