P-Hailing: Usah Bebani Mereka Dengan Syarat Baharu GDL, Tegas Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Cadangan untuk penunggang P-hailing disyaratkan untuk memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) pada ketika ini amatlah tidak munasabah, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, janganlah diperas lagi penunggang tatkala ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya, pasaran kerja yang masih sendu, tekanan harga barangan yang meningkat dek inflasi dan beban bayaran balik pinjaman bank.

“P-hailing inilah yang menjadi ruang untuk mereka mencari rezeki, memastikan dapur berasap, anak bini cukup makan dan ada bumbung menutupi mereka sekeluarga.

“Tak dinafikan wujud soal keselamatan dan perlindungan insurans. Sedikit sebanyak GDL ini ada meritnya. Cuma ianya tidak menyelesaikan masalah pokok kepentingan dan kebajikan mereka yang menceburi sektor gig ekonomi ini.

“Dah tu siapa nak kena tanggung kos buat GDL ni? Penunggang atau syarikat?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Dr Asyraf, walaupun boleh dipertimbangkang berkaitan GDL itu, pihaknya mahu pekerja-pekerja sektor ini diiktiraf sebagai pekerja mengikut undang-undang buruh negara.

“Barulah hak dan kepentingan mereka dan keluarga mereka terjamin. Lebih manis, syarikat yang tanggung kos ambil lesen GDL. Boleh?

“Jika tidak boleh, tak perlulah kan?” tanyanya lagi.

Justeru, Dr Asyraf memberi komitmen akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk membawa isu yang menjadi keluhan anak-anak muda yang terlibat dalam industri P-Hailing ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.