Ke Arah PRU15: Media Sosial Beri Ruang, Peluang Anak Muda Bersama UMNO – Zaidy

 

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu kebanyakan pemimpin UMNO di kalangan anak muda tidak aktif menggunakan media sosial sebagai platform utama malah tidak mengaplikasi perkembangannya dalam menyampaikan mesej dan info politik kepada rakyat.

Selaras dengan itu katanya, PRU ke-15, keadaan berbeza kerana golongan muda digerakkan untuk aktif dalam media sosial dan teknologi maklumat semasa.

“Pada hari ini di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah membuat platform yang banyak kepada anak muda bukan hanya dalam media sosial tetap juga menubuhkan Skuad Sabil, Putera UMNO Malaysia, UMNO Siswa dan sebagainya.

“Platform-platform ini memberi ruang dan peluang kepada anak muda untuk bersama-sama dengan kepimpinan UMNO untuk menyampaikan maklumat melalui media sosial.

“Pendekatan Pemuda UMNO menyampaikan maklumat tentang isu-isu semasa kerana yang di luar sana ramai yang hendak mendengar suara dari anak muda bukannya dari pemimpin lama sahaja. Anak muda lebih yakin dengan rakan sebayanya. Pengaruh rakan sebaya juga memberikan penentuan dan hala tuju sama ada menyokong UMNO atau sebaliknya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol berharap agar pimpinan UMNO akan terus menggunakan platform media sosial dalam aktiviti semasa.

“Saya harap pemimpin-pemimpin UMNO janganlah tinggalkan media soisal dan ambil iktibar kerana UMNO tewas disebabkan media sosial. Dengan media sosial pemimpin dapat menyampaikan secara ‘direct’ pada anak muda,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.