Federasi Koperasi Perkasa Koperasi Di Bawah Enam Sektor Ekonomi – Noh Omar
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pertubuhan enam federasi koperasi yang merupakan gabungan koperasi berperanan memperkasa pergerakan koperasi yang giat menjalankan aktiviti di bawah enam sektor ekonomi.
Sektor tersebut ialah pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; perkhidmatan kewangan; perladangan; hartanah dan industri pembinaan; dan pertanian dan industri asas tani.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata koperasi dilihat penting dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat terutama dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Menyedari kepentingan sektor koperasi dalam membangunkan sosioekonomi dan masyarakat dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat, kerajaan telah pun bersetuju federasi koperasi peladangan diberi kemudahan untuk memohon pengambilan pekerja asing.
“Selain itu, federasi koperasi pemborongan dan peruncitan melaksanakan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) sebagai usaha untuk memastikan bekalan barangan keperluan pengguna dapat dibekalkan secara konsisten dengan harga yang lebih murah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Juhanis Abd Aziz mengenai mekanisme yang dilaksanakan dalam usaha meningkatkan peranan sektor koperasi untuk menjadi salah satu pemacu ekonomi negara.
Noh berkata sebanyak RM100 juta juga telah diperuntukkan kepada federasi koperasi pertanian dan industri asas tani di bawah Tabung Modal Pusingan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan.
Beliau berkata terdapat sebanyak 14,834 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan seramai 7.08 juta orang sehingga 31 Disember, 2021.
Jumlah modal syer atau yuran koperasi mencatatkan RM16.54 bilion dan jumlah aset koperasi pula RM154.98 bilion.
Selain itu, sumbangan perolehan koperasi kepada pendapatan negara pula adalah berjumlah RM37.89 bilion. – BERNAMA