E-Hailing Dan P-Hailing: Pemuda UMNO Akan Pantau Secara Dekat – Fairuz

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO akan terus melihat serta memantau dengan lebih dekat berhubung perkara yang telah diperbincangkan berkaitan kebajikan mereka yang berkecimpung dalam bidang E-Hailing dan juga P-Hailing.

Pengerusinya, Fairuz Jamaluddin berkata sesi perbincangan dua hala bersama vendor sepertimana semalam yang turut melibatkan pihak kementerian terlibat menghasilkan impak yang positif.

“Sekretariat Pekerja Muda akan mengadakan sesi perbincangan dengan Persatuan Penghantar dan wakil vendor untuk memastikan Badan Kawal Selia tersebut mendapat maklumat yang lengkap daripada rider penghantar.

“Perbincangan dua hala ini akan memastikan ekosistem p-hailing akan sentiasa berkembang dan menjaga kebajikan semua pihak’” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama beliau turut berkongsi pertemuan semalam antara vendor serta wakil E-Hailing dan E-Hailing selain wakil penghantar yang turut disertai bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong.

Kabinet telah bersetuju untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] bertujuan pengawalseliaan serta penetapan peraturan bagi industri p-hailing.

Secara dasarnya, cadangan Resolusi 2 Tuntutan Hak Penghantar Malaysia semasa Persidangan Meja Bulat Tuntutan Penghantar pada 20 September 2021 telah dipersetujui oleh kerajaan.

RESOLUSI 2 – Mewujudkan Peraturan Dan Sebuah Badan Kawal Selia Yang Mengkaji Keperluan Regulasi Adil Dan Realistik Untuk Penyedia Perkhidmatan Dan Penghantar.

Resolusi 2 diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah yang diutarakan semasa Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar iaitu:

a. Skema bayaran yang sentiasa berubah dan menjejaskan pendapatan penghantar.
b. Prosedur penetapan KPI yang merugikan penghantar.
c. Jarak di aplikasi penyedia perkhidmatan berbeza dengan jarak sebenar.
d. Kekeliruan isu Halal dan Non-halal.
e. Jadual kerja yang tidak fleksibel walaupun bekerja separuh masa.
f. Tiada insurans yang khusus untuk risiko pelbagai kemalangan atas jalanraya.
g. Penggantungan dan penamatan khidmat pekerja secara tidak adil tanpa perbincangan.

Walaupun begitu, RUU tersebut akan dibentangkan diperingkat Parlimen pada Oktober 2022 akan datang dan Kementerian Pengangkutan belum lagi mendapat mandat penuh dan punca kuasa untuk mengawaselia persekitaran p-hailing.

Menteri Pengangkutan berjanji akan melibatkan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sesi libaturus sebelum RUU dibentangkan di Parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.