BN Tampin Siap Sedia Kembalikan Kerusi Parlimen, Yakin Depani PRU15 – Isam

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berpandangan selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan bangkit dan kembali menjadi kerajaan pada PRU-15 nanti. 

Jelas beliau, BN Tampin tidak patah semangat dan terus mempertingkatkan usaha selepas  mengkaji faktor kekalahan dan kini berkeyakinan tinggi untuk merampas kembali Parlimen Tampin.

“BN Tampin berkeyakinan tinggi untuk merampas kembali Parlimen Tampin. Kita kaji semula kenapa faktor kekalahan di Parlimen Tampin dan kebanyakannya adalah isu-isu di peringkat nasional. Di Tampin tidak ada isu dan kami yakin dapat merampas kembali Parlimen terbabit dengan mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan Gemas serta mengurangkan kekalahan di DUN Repah.

“Kita telah melalui berbagai proses dan liku dihadapi termasuk krisis-krisis politik yang berlaku di peringkat nasional namun tidak ada apa-apa berlaku krisis dalaman dan berada dalam keadaan baik.

“BN Tampin bersiap sedia dari segi jentera di peringkat Bahagian, Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mendapat kerjasama baik dengan komponen parti seperti MCA, MIC dan Friends of BN untuk bergerak bersama menuju PRU-15,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mohd Isam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh berkata, gerak kerja kini berlancar dan berharap agar segala perancangan dapat dilaksanakan.

“Sekarang ini BN Tampin lebih akrab dan fokus utama menawan kembali Parlimen dan mengekalkan kedua-dua DUN iaitu Gemencheh, Gemas walaupun di DUN Repah, UMNO/BN kalah namun kita tidak tinggalkan DUN Repah.

“Kami sentiasa bersama dengan masyarakat untuk mengembalikan keyakinan mereka bahawa BN Tampin menjaga soladiriti di Parlimen dan juga ketiga-tiga DUN,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.