Memahami Rakyat Adalah Kekuatan UMNO/BN, Tak Ada Pada Parti-parti Lain – Shahrir

 

JOHOR BHARU, 8 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menegaskan bahawa kekuatan UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah memahami rakyat dan tahu apa keperluan masyarakat.

Katanya, jika dibandingkan dengan parti-parti lain maka kekuatan yang ada pada UMNO ini tidak ada pada mereka.

“Jadi ini kekuatan yang ada pada UMNO, berbanding dengan parti-parti lain. Yang betul-betul faham pasal rakyat ataupun pihak yang hanya bercakap. Bercakap boleh, nak cari masalah memang senang, tapi nak selesaikan masalah, macam mana?

“Tengoklah perumahan, lepas Pilihan Raya Umum (PRU) mereka kata rumah ini pemberian kepada orang UMNO sahaja. Kita nak putihkan senarai. Tak ada jawatankuasa bahagian yang dapat rumah atas asas dia menjadi ahli UMNO ataupun dia mempunyai kedudukan dalam parti kerana yang layak dapat adalah mereka yang duduk dalam kawasan penempatan setinggan,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada perumahan di Pangsapuri Desa Melayu, Johor Bahru yang menjadi penempatan semula golongan setinggan di kawasan sekitar tanpa melihat kepada ideologi politik.

Jelas Shahrir, masalah yang mustahak adalah berkaitan dengan rakyat dan ternyata bahawa UMNO/BN memahami masyarakat dan kehendak mereka.

“Kita nak penerimaan rakyat terhadap perjuangan kita, dasar kita, orang-orang kita, pemimpin-pemimpin yang kita taruhkan dan kini kita ke arah PRU15.

“PRU14 kita kalah tak apalah. Kita kalah hari tu, kita ‘tengok wayanglah’. Orang nak bising-bising nak ambil alih itu ini… dia nak rampas kunci balai raya tapi tapi tak ada aktiviti pun, nak pegang kunci saja… dia ingat kunci pada balai raya tu punca kuasa.

“Punca kuasa tu daripada kepimpinan manusia yang berjiwa dengan rakyat dan masyarakat. Bukan balai raya. Tak ada balai raya kita buat khemah, tak ada hal. Itu pembangkang selepas PRU, semua nak cari salah,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kekalahan dalam PRU14 adalah pengalaman baharu untuk semua dan juga rakyat agar melihat suasana dan pengalaman yang berbeza.

“Biasanya yang baharu tu lagi sedap kan, tapi bagi saya, tengok pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) macam rakyat kata… yang lama (UMNO/BN) lagi baik. Pasal yang lama tu sebenarnya masa kita kalah, kita tak memberontak.

“Orang ingat UMNO ni paling jahatlah… banyak baju merah, baju hitam, macam-macam punya geng akan berdemonstrasi. Tak ada, kita relax saja. Dia kata kita ni macam gangster, tapi tidak. Kita mengaku kalah, menyerahkan kuasa dan kita berundur.

“Menghormati keputusan rakyat, kita serahkan kuasa dengan baik. Yang berdemonstrasi… yang berkumpul ramai-ramai semua orang mereka. Dan sebab itu kita, di Johor Bharu misalnya, kita relax lepas kalah tapi kita teruskan kerja kita. Kita tahu tu mandat rakyat, dia akan datang balik. Kita ada kepimpinan, ketokohan. Orang kita memang ada kualiti, ada pengalaman.”

Dalam hal tersebut beliau memberikan contoh bagaimana kematangan kepimpinan UMNO/BN berani mendepani keadaan termasuk dalam debat sekalipun.

“Dia (Anwar Ibrahim) punya cabar Datuk Najib bahas dan Datuk Najib sahut berbahas dengan Anwar. Apa point Anwar Ibrahim? Audit forensic… itu yang Rafizi cakap audit forensic, Anwar Ibrahim pun bawa audit forensic.

“Itu sajakah modalnya? Audit forensic ni satu keperluan yang ada dan kebiasaan dalam mana-mana badan korporat ataupun dalam akaun kerajaan, memang ada audit forensic.

“Itu bukan penyelesaian, itu baru nak kita sambil menyelesaikan pun boleh buat audit forensic. Lepas audit forensic, apa PKR kata? Buat laporan polis. Lepas tu sekarang senyap balik? Macam mana kau nak buat kerajaan ni?”

Soalnya, adakah kita nak pimpin negara dengan audit forensic dan laporan polis?

“Kita kena ada idea apa yang kita nak buat dengan negara ni. Audit forensic tu biasa, sebelum Rafizi lahir pun kita dah buat audit forensic. Sebelum dia masuk politik pun saya dah jadi pengerusi PAC. Kita buat audit forensic… itu satu kebiasaan bukan satu benda yang ajaiblah.

“Takkanlah kita nak mentadbir dan mengurus negara, nak mengisi segala keperluan rakyat dengan audit forensic, dengan laporan polis.

“Kita kena ada idea apa yang kita nak buat. Buat demonstrasi boleh selesai masalahkah? Tak boleh… kena pakai fikiran. Jadi janganlah takut nak bahas dalam parlimen, bahaslah. Jangan jadi macam Muhyiddin, terus gantung parlimen buat darurat dan mandulkan parlimen sedangkan di situlah suara rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.