JBPM Kini Miliki Kekuatan Hampir 30,000 Pegawai, Anggota – Reezal Merican

MARANG, 8 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini telah memiliki kekuatan hampir 30,000 pegawai dan anggota di seluruh negara yang sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran tugas dan operasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jumlah tersebut terdiri daripada 13,000 pegawai dan anggota tetap di 327 balai bomba dan lebih 2,000 pegawai bomba bantuan serta lebih 13,000 pegawai bomba sukarela di seluruh negara.

“Jumlah kekuatan anggota tersebut sememangnya amat diperlukan JBPM bersekali dengan aset kebombaan moden, bagi mendepani pelbagai cabaran operasi terutama dalam mengendalikan lebih 150,000 panggilan kecemasan setiap tahun.

“Kementerian telah meletakkan soal kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan sebagai satu daripada enam fokus utama kementerian bagi tahun 2022 ini yang mendukung matlamat dan Aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan juga inisiatif ke arah mencapai agenda kementerian bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya huni ataupun ‘liveable’ Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Pentauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid itu, seramai 737 pegawai bomba KB19 yang terdiri daripada 686 pelatih lelaki dan 51 pelatih wanita telah ditauliahkan setelah mereka selesai menjalani kursus pentauliahan selama enam bulan bermula 7 Feb lepas.

Dalam pada itu Reezal Merican berkata pengambilan 737 anggota baharu yang ditauliahkan pada hari ini adalah bagi mengisi kekosongan keanggotaan di seluruh negara dan ia diharap dapat memberikan impak terhadap kekuatan sedia ada.
“Saya juga difahamkan bahawa pada hari ini seramai 40 anggota bomba daripada agensi swasta Johor Port, Penang Port, Bintulu Port, Northport dan Wehaya Sdn Bhd turut sama ditauliahkan. Sesungguhnya, peranan bomba swasta juga amat penting bagi memberikan respons kebombaan dan penyelamatan di lokaliti masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu Reezal Merican berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk pembangunan Fasa 3 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur yang meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti pembinaan Simulator Swift Water Training dan Kompleks Latihan Penyelamatan di Air.

“Saya yakin, dengan adanya fasiliti latihan moden yang dilengkapi dengan teknologi terkini ini bukan sahaja menjadi mercu tanda kecemerlangan latihan kebombaan dan penyelamatan malah akan meningkatkan lagi tahap kemahiran anggota jabatan dalam pengurusan insiden kecemasan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.