Pengakuan MB Selangor Dalam Sidang DUN Bukti Kegagalan Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mendedahkan di dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 bahawa kegagalan Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat adalah disebabkan oleh keputusan pemimpin terdahulu.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri menegaskan jelas bahawa Kerajaan PH gagal kerana tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ini dan bermacam lagi isu lain walaupun sudah hampir 15 tahun memerintah negeri ini.

Katanya, MB Selangor menyebut beberapa perkara antaranya adalah Akademi Merah Kuning dan Hotel Carlton yang dikatakan masalah yang diwarisi dari Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebagai contoh kedua-dua isu yang disebut oleh MB Selangor itu adalah isu berkaitan dengan kontrak, maka jalan penyelesaiannya adalah dengan mengikut saluran perundangan.

“Apakah dengan kekuatan seluruh jentera Kerajaan Negeri Selangor, Pakatan Harapan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah seperti ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, jika benar ia terjadi di masa pemerintahan BN, adalah lebih baik MB Selangor menunjukkan kepada rakyat secara terperinci pihak mana yang terlibat dengan permasalahan ini dan laporkan kepada SPRM dan pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

“Kami berharap MB Selangor melaksanakan tanggungjawabnya dan bukannya menyalahkan pihak yang sudah bertahun lamanya tidak memerintah negeri ini.

“Jika beliau tidak mampu melaksanakan amanah ini, adalah lebih baik MB Selangor meletak jawatan dan berikan kepada mereka yang berkelayakan untuk menggalas tugas menerajui Negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya lagi. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.