Tahniah Azeem, Kebanggaan Dan Aspirasi Anak Muda Malaysia – Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi yang telah membuktikan kepada dunia bahawa anak Malaysia mampu memberi saingan hebat di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, semangat terus berusaha anak kelahiran Perak itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarganya malah menjadi inspirasi buat anak-anak muda Malaysia untuk terus mara dalam apa diusahakan.

“Baru berusia 18 tahun bermakna peluang dan ruang masih terbuka luas untuk anak muda itu terus maju dalam bidang sukan yang diceburinya.

“Segala yang diperlukan adalah iltizam dan kesungguhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, keputusan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tentunya menjadi titik permulaan terbaik untuk beliau mengapai kegemilangan terhebat suatu hari nanti.

“Azeem dikatakan telah membuat keputusan menjadikan Amerika Syarikat sebagai destinasi pilihan bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjayanya dalam sukan olahraga.

“Pasti rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan beliau walau apa jua yang dilakukannya untuk terus mara dan maju.

“Kecekalan dan semangat juang yang tidak pernah luntur telah membuahkan hasil kejayaan yang amat membanggakan, tahniah,” ujar beliau.

Terdahulu Azeem pada ketika ini menjadi sebutan peminat sukan negara ekoran kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter menerusi catatan 10.09 saat ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.