Serangan Politik Terhadap Pilihan Zafrul Bersama BN Gusarkan Pakatan Politik Tertentu – Reezal

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan lontaran serta pelbagai kritikan terhadap pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor sebagai mereka yang kekurangan modal.

Menurut beliau langkah berkenaan perlu dilihat dari pelbagai sudut terutama pilihan beliau yang menjadikan UMNO/BN sebagai wadah politik khususnya dalam usaha membantu BN Selangor.

“Pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu mencipta minat di kalangan pengundi muda dan rakyat di Selangor. Sebagai seorang tokoh perbankan yang diberikan ruang untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan maka pelantikan beliau pantas mencetuskan minat di media sosial.

“Ironinya, terdapat anggota parti politik tertentu yang berlebihan dan melampau dalam memberikan komentar dan pandangan. Ada yang kekurangan modal sehingga mengaitkan persoalan ‘adab’ dan ‘budi’.

“Barangkali, kerana adab dan budilah, Zafrul memilih UMNO dan BN. Parti dan pentadbiran yang telah melorongkan beliau di tampuk dunia korporat selama ini. Naif benar pandangan dan perspektif politik; jika gagal melihat betapa akrabnya Zafrul dengan UMNO dan BN selama ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Reezal lagi, agak janggal sebenarnya melihat kumpulan yang melontarkan pelbagai tuduhan dan perspektif negatif kepada Zafrul yang kononnya merekalah ‘demokratik’ dan punya pandangan politik yang maju dan liberal.

Katanya sebagai seorang tokoh perbankan berjaya, piawaian dan nilaian politik Zafrul pastinya lebih kukuh serta berasaskan fakta dan jika asas, akar keyakinan beliau bersama UMNO dan BN siapa sahaja yang mampu menidakkannya?

“Zafrul pastinya yakin bahawa inilah ruang dan peluangnya memberikan “khidmat” lebih baik kepada negara dan bangsa. Bukan platform dan medan politik yang lain.

“Adat sepanjang jalan; cupak sepanjang betung,  penampilan wajah dan tenaga profesional seperti Zafrul akan mengukuh dan memperkuat UMNO dan BN. Inilah yang merisaukan dan mewujudkan resah khuatir di kalangan kelompok tertentu.

“Mengaitkan pilihan wadah politik dengan soal “adab”; soal “budi” dan “jasa bakti” – ini hujah yang terdesak. Zafrul punya ruang seluas mungkin untuk menampilkan keperibadian yang baik, membalas budi dan jasa bakti kepada negara dan bangsa, bersama UMNO dan BN.

Seterusnya, Reezal turut berpesan kepada Zafrul agar tetapkan pendirian dalam jalan perjuangan yang dipilihnya itu.

“Sedikit pesan saya kepada Zafrul, dalam bahasa orang lama, ‘Jangan didengarkan siul ular’… tetapkan pendirian dan teruskan perjuangan dengan pilihan yang telah dibuat.

“Nawaitu berpolitik mestilah berasaskan keinginan. Tika hujan, jadi tempat berteduh, tika panas, jadi tempat berlindung. Adab tidak wajar dinilai oleh mereka yang mempunyai sangkaan jahat dan busuk hati,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.