Realisasikan 30 Peratus Calon Wanita Dalam PRU… Terima Kasih Untuk PRN Lalu – Norshida

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berharap agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menilai semula calon-calon wanita yang perlu diketengahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Jelasnya, calon-calon wanita yang ada pada masa ini sangat berkaliber serta berkelayakan untuk menjadi seorang pemimpin di satu-satu tempat.

“Kita berharap semoga ianya dapat direalisasikan oleh presiden kita. Saya juga ingin berterima kasih kerana di Pilihan Raya Negeri (PRN) baik di Melaka mahupun Johor, telah membuktikan bahawa presiden kita sangat berani meletakkan calon-calon muka baru untuk bertanding dan alhamdulilah kita mendapat kemenangan yang luar biasa. Sehingga kini, saya mengharapkan semoga ada muka-muka baru untuk PRU15 nanti.

“Tidak lupa juga penampilan 30 peratus calon wanita yang sentiasa konsisten saya perjuangkan, diperhalusi demi kebaikan. Saya rasa calon wanita ini boleh membawa satu kemenangan besar kalau kita letak calon yang betul. Calon yang sentiasa mendekati masyarakat dan sentiasa ada bersama rakyat ketika susah.

“Saya tidak melihat permintaan kita ini adalah satu permintaan yang susah untuk presiden timbangi. Tetapi presiden perlu tahu bahawa wanita ini adalah salah satu penyumbang utama kemenangan setiap PRN-PRN. Jika satu-satu tempat itu dinobatkan wanita sebagai calonnya, ia penghargaan yang besar bagi wanita di tempat tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut berharap agar Ahmad Zahid memberikan laluan kepada calon-calon wanita untuk bertanding serta melahirkan keyakinan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) boleh menang besar sekiranya meletakkan calon wanita yang betul.

“Jadi kepada YB Datuk Seri presiden, saya tetap dengan pendirian saya serta sentiasa beristiqamah memohon agar dipertimbangkan kuota calon 30 peratus wanita untuk PRU15 nanti. Saya tetap mengharapkan semoga YB Datuk Seri presiden memberi laluan kepada wanita-wanita dan saya yakin jika calon wanita yang diletakkan calon yang betul, kita akan menang besar. Percayalah.

“Wanita ini kalau kita lihat di kawasan masing-masing dia bekerja. Dia tidak bekerja dan turun secara bermusim. Daripada kalah sampai sekarang, mereka bekerja dengan penuh bersungguh-sungguh. Kita tidak mahu lihat pemimpin itu tiba-tiba je datang tempat kita. Tak kenal siapa, tapi meminta kita menyokong demi BN.

“Jadi kena fikirlah sensitiviti sebab yang bekerja ni jentera. Kita kena ambil satu pendekatan ataupun suara akar umbi untuk kita fikirkan calon di kawasan masing-masing,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.