PPBM Mula Resah Golongan Profesional, Cendekiawan Sertai Perjuangan BN – A’zlan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berpandangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) resah apabila golongan cendekiawan dan profesional bersama dengan perjuangan Barisan Nasional (BN).

Katanya ini kerana Ketua Penerangan parti itu, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataannya mulai menunjukkan sikap tidak senang dengan langkah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bersama BN.

“Saya nasihatkan Wan Saiful ini, jadilah Ketua Penerangan parti yang high class walau tak banyak sikit pun tak mengapa. Bercakaplah untuk membangun masa depan, bukan bercakap seperti si kecil mengadu kepada cikgu yang kerja sekolah tak siap kerana kawan tak buatkan.

“Inilah citra parti PPBM yang membuktikan bahawa mereka tiada sifat terbuka malah lebih iri hati dan dengki melihat mana-mana pihak yang memilih untuk bersama BN lebih-lebih lagi dari kalangan cendekiawan dan profesional.

“Cukup-cukuplah untuk Wan Saiful ini menjalankan peranan dia yang kononnya bercakap soal perjuangan, perjuangan rotorik inilah yang tercipta janji manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu sehingga ramai pengundi ditipu oleh Wan Saiful Wan Jan yang ketika ini berperanan untuk membuat janji-Janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah A’zlan, latar belakang Tengku Zafrul Abdul Aziz yang merupakan Senator merangkap Menteri Kewangan adalah penting terutama sebagai pemimpin muda dalam mencari platfom dalam parti bagi memastikan kesinambungan usaha serta perjuangannya untuk memberi khidmat membantu rakyat di masa hadapan.

“Kerana inilah sistem berkerajaan di Malaysia, hanya sesebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan dalam demokrasi Malaysia.

“Tengku Zafrul yang sebelum ini berkarier sebagai profesional perbankan menjadi tanggungjawab untuk beliau membantu Kerajaan membangun ekonomi sebagai Menteri Kewangan Malaysia.

“Wan Saiful juga sudah pasti telah mengetahui bahawa Tengku Zafrul adalah ahli UMNO sejak 1998 lagi mungkin pujukan dan tawaran PPBM selama ini kepada Tengku Zafrul untuk bersama mereka tidak menggugat kesetiaan Tengku Zafrul bagi kekal bersama UMNO. Sebab itulah hari ini, serangan kepada Tengku Zafrul sudah bermula bagi memburukkan reputasi beliau.

“Tetapi tidak untuk Tengku Zafrul mengkhianati prinsip sebagai seorang ahli parti UMNO melompat ke parti lain seperti ramai pemimpin PPBM hari ini,” ujar beliau.

Jelas A’zlan, pemimpin berkredibiliti seperti Tengku Zafrul merupakan antara imej yang diperlukan oleh rakyat malah beliau menyifatkan selepas ini sudah pasti akan lebih ramai lagi muka baru yang akan ditampilkan oleh Barisan Nasional untuk Pilihanraya Umum ke-15 akan datang.

“Oleh itu, tidak perlulah untuk parti lawan merasa takut dengan pembaharuan dan penyegaran yang telah dilakukan oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor lagi.

“Ini kerana keutamaan kita adalah kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia untuk hari ini dan masa depan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.