Kerajaan Wajar Campur Tangan Isu Kebajikan, Keselamatan Pekerja P-Hailing Dan E-Hailing

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa kerajaan wajar campur tangan isu kebajikan, keselamatan pekerja p-hailing dan e-hailing.

Katanya, memang wajar untuk para riders (penghantar) melakukan mogok sehari akibat penindasan secara halus dan berterusan oleh pihak syarikat yang tebal nilai kapitalisnya.

“Makin untung makin diperah anak-anak muda yang mencari rezeki tanpa memikirkan kebajikan dan keselamatan mereka.

“Justeru sudah tiba masanya kerajaan segera mengiktiraf status individu yang terlibat di dalam industri e-hailing dan p-hailing sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

“Di samping mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan-peraturan (regulations) yang lebih adil dan realistik untuk penyedia perkhidmatan dan penghantar,” katanya.

Dilaporkan, penghantar makanan bermotosikal termasuk GrabFood dijangka melancarkan mogok hari ini yang dijangka disertai penghantar dari agensi Lalamove, Shopee food, EASI, Borzo, Sama Sama Lokal, Misi Rakyat dan Airasia Food.

Terdahulu, sejak semalam telah tular poster di media sosial memuatkan tanda pagar #naikkanfare, #grabsembelihrider, #fpsembelihrider di dalam poster. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.