Tun Mahathir Lupa Selama Ini Beliaulah Pecahkan Perpaduan Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil berkata Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad lupa bahawa selama ini bekas Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) itulah yang sebenarnya yang memecahkan perpaduan orang-orang Melayu di negara ini.

Isham memberi respon demikian berhubung semalam, Tun Dr Mahathir memberi bayangan bahawa beliau akan menubuhkan gagasan parti politik Melayu yang baru atas alasan untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

“Dia bergaduh dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dekat 30 tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PKR. Dia bergaduh dengan Pak Lah (Tun Abdulllah Badawi) dekat 15 tahun lepas lalu lemah orang Melayu dan hilang dua pertiga kerusi di Parlimen.

“Dia bergaduh dengan Najib (Datuk Seri Najib Razak) dekat tujuh tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PPBM, lantas Dap dan PH memerintah negara. Dia bergaduh dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dua tahun lepas lalu berpecah PPBM tertubuh Pejuang.

“Dia kalah pilihan raya di Johor hilang deposit di semua kerusi lalu dia tak puas hati dan ingin tubuh gagasan parti Melayu untuk pecah lagi undi Melayu,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tegas Isham lagi, tindakan Tun Mahathir ini jelas menguntungkan PH dan Dap sahaja.

“Sebab dia tahu adalah sukar untuk dia menang kerusi dalam pilihan raya oleh itu dia hanya boleh pecah undi Melayu.

“Dan jika dia berjaya pecah undi Melayu, maka PH dan Dap yang akan menang dan untung. Mungkin ini rancangan sebenar dia, sebab ramai kroni-kroni dan taikun-taikun yang sokong dia juga sokong PH dan Dap,” telahnya.

Dakwanya lagi, Tun Mahathir serta kroni-kroni dan taikun-taikun tidak kisah akan kesusahan rakyat atau orang-orang Melayu.

“Sebab itu dulu semasa dia (Mahathir) berkuasa dia kata jangan iri hati kepada orang kaya, dan bila rakyat susah dia suruh rakyat ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan.

“Siapa yang undi Mahathir dan gagasan parti baru dia ini akan undi kroni, taikun dan sanggup ikat perut bila susah kerana untuk jaga orang kaya,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.