Rakyat Berhak Tahu Status Kewangan Negeri Dengan Jelas – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui semua maklumat awam berkaitan negeri seperti unjuran tunai serta mempersoalkan sumber pendapatan dan cara ianya dibelanjakan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang menyangkal dakwaan rizab negeri tersebut melonjak hasil daripada aktiviti pembalakan.

“Unjuran tunai, dan kewangan negeri adalah hak rakyat. Kesemua itu adalah maklumat awam yang boleh dikongsikan dengan rakyat. Masyarakat umum berhak untuk mempersoal dan mengetahui sumber dan cara pendapatan negeri dibelanjakan.

“Alasan sumber rizab negeri ‘rahsia kerajaan’ adalah mengarut dan tidak boleh diterima sama sekali. Ia hanyalah taktik culas YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Kedah dalam menjawab isu. Beliau sekadar melarikan diri dari mengambil pertanggungjawaban terhadap kenyataannya yang cuai,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Menurutnya, penjelasan tanpa perincian mengenai rizab RM600 juta tersebut dijana melalui penjimatan kerajaan dan bukannya hasil daripada hasil pembalakan serta premium tanah besar-besaran adalah tidak mencukupi.

“Sepatutnya YAB Menteri Besar Kedah bentangkan apakah langkah-langkah penjimatan berhemah tersebut agar difahami dengan jelas oleh masyarakat.

“Saya rasa negeri lain dan rakyat negeri Kedah punyai hak untuk berkongsi dan sama sekali berbangga dengan kecekapan kerajaan negeri mengurus tadbir kewangan negeri. Perkara ini kritikal kerana jika dilihatkan kepada rekod dan prestasi sebelum ini, pentadbiran kerajaan Pas pada tahun 2008 adalah sangat teruk.

“Antaranya, kelemahan dalam pengurusan bencana (banjir besar 2010), aktiviti penggondolan hutan melalui pembalakan besar-besaran dan keputusan ekonomi yang tidak bijak seperti keputusan membina Insaniah melalui pembiayaan pinjaman yang membebankan kerajaan negeri sekali gus menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung jumlah liabiliti hutang yang sangat besar dan amat tidak munasabah,” katanya lagi.

Tambah Shaiful lagi, sekiranya berlaku penjimatan seperti didakwa, beliau harus memperincikannya dengan jelas dan lengkap.

“Ini adalah satu tanggungjawab yang munasabah dan tidak boleh sama sekali dielakkan dengan alasan tidak berasas seperti ‘kerahsiaan’. Bukankah berani kerana benar? Kenapa kecekapan dan langkah penjimatan kerajaan tidak boleh didedahkan?

“Saya harap kita akan dapat mendengar penjelasan yang lebih profesional, lengkap dan tidak bersifat malas atau culas oleh kerajaan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.