Rafizi Asyik Ulang Yang Sama, Korek Sekali Skandal PH, PN – Johari

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyindir Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang kononnya mahu berterusan mendedahkan skandal berkaitan Barisan Nasional (BN).

Beliau bagaimanapun mengalu-alu tindakan itu namun ianya mesti juga dilakukan kepada keseluruhan parti-parti yang pernah mentadbir negara.

“BN dah kalah pun hendak diserang jugak? Pakatan Harapan (PH) 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) 17 bulan dan sekarang ini kerajaan Keluarga Malaysia.

“Jadi saya punya pandangan kalau nak buka skandal buka la apa ada hal, skandal BN sudah buka jadi BN dah jatuh.

“PH, PN, Keluarga Malaysia buka la tapi tidak ada satu pun tapi balik-balik ulang yang sama. Kenapa hendak ulang sedangkan tengah bicara di mahkamah cari yang baharu sahajalah jangan jadi selective,” katanya.

Johari berkata demikian pada program Berani Benar: Malaysia Bakal Menjadi Sri Lanka? yang disiarkan secara langsung di Facebook Hello Malaysia, malam tadi.

Dalam pada itu, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan berpandangan pada ketika ini hanya UMNO/BN berupaya untuk mentadbir negara dengan sebaiknya berdasarkan pengalaman dimiliki.

Selain itu, menurut beliau BN juga mempunyai pemimpin yang berkredibiliti dalam melakukan tadbir urus bagi memastikan negara ini kembali ke landasan yang terbaik.

“Ada dua benda yang saya rasa BN boleh tawar, satu kita boleh bagi kestabilan politik sebab kita ada pengalaman.

“Kedua BN akan susun pemimpin kompeten untuk bawa kembali ekonomi negara ke landasan yang betul dan berani ambil unpopular policy kerana apa yang kita buat ini untuk generasi masa hadapan short term pain long term gain,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu bagaimanapun berkata, meskipun pelbagai perancangan dirangka bagi memacu ekonomi negara namun nasib golongan yang tidak berkemampuan mesti juga diambil kira.

Katanya ini bagi mengelakkan jurang di antara golongan yang berpendapatan tinggi dan rendah tidak melebar.

“Ianya mesti dilakukan dengan mengambil kira mereka yang tidak boleh mengikut perkembangan ini mesti perlu dibantu.

“Tidak boleh abai kerana walau ekonomi berkembang kita punya perbezaan dari segi kehidupan itu di antara kaya dan miskin akan bertambah lebar itu tak boleh dibuat kerana untuk long term tidak baik untuk negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.