Bukan Setakat PBM, Malah Sekurang-Kurangnya Tujuh Parti Nyatakan Hasrat Sertai BN

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Suhu politik negara hari ini bukan sahaja hangat dengan pelbagai isu semasa malah terkini difahamkan beberapa parti politik telah menyatakan hasrat untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Menerusi perkongsian di Facebook Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan apakah yang menyebabkan parti-parti berkenaan mahu bersama-sama dengan parti BN.

Fenomena tersebut jelas beliau lagi bukan sahaja Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sudah terang-terangan menyatakan hasrat berkenaan malah ianya turut menraik minat sekurang-kurangnya tujuh lagi parti yang lain.

“Kenapa agaknya banyak parti mahu menyertai atau kembali semula sebagai komponen BN Fenomena ini bukan setakat Parti Bangsa Malaysia tapi sekurang-kurangnya tujuh parti sudah kemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan turut berkongsi perkara yang sama malah menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau turut meminta pandangan netizen berhubung perkara berkenaan.

Kata beliau semasa awal-awal kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, ramai yang mengambil tindakan untuk menjauhkan diri malah ada yang melemparkan dengan pelbagai kata-kata termasuklah ada yang menghina.

“Masa awal-awal selepas PRU-14, ramai menjauh. Tak kurang yang hina kita sebagai parti perompak pencuri. Tapi hari ini ramai pula yang nak ‘mengendeng’ dekat kita. Kenapa ya?

“Bukan sahaja Parti Bangsa Malaysia, tapi difahamkan sekurang-kurangnya ada 7 parti yang sudah mohon sertai BN. Adakah kita patut terima mereka? Apa pandangan anda,” ujarnya.

Meneliti ruangan komen, rata-rata menyifatkan BN perlu kekal setia dengan rakan-rakan yang sentiasa susah dan senang bersama-sama sebelum ini dan bukannya setelah melihat kepada arus perkembangan semasa.

Dalam pada itu ada juga yang menyarankan agar parti berkenaan berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kelak kerana akhirnya nanti BN juga yang akan kena tempiasnya apatah lagi menjelangnya PRU nanti.

Memetik laporan, dilaporkan PBM telah menghantar permohonan rasmi tiga minggu lalu untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi PRU akan datang.

Presiden penaja parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.

“PBM telah membuat permohonan kepada BN, dalam tiga minggu lalu untuk menjadi sebahagian daripada komponen gabungan itu. Kita masih lagi menunggu jawapan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Antarabangsa Ke-10, di sini pada Rabu.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.