Pembubaran Parlimen Jalan Penyelesaian Terbaik Jika PN Masih Desak Jawatan TPM – Sharkar

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pembubaran Parlimen dilihat jalan penyelesaian terbaik jika Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata rakyat ketika ini sedang dihimpit dengan peningkatan kos sara hidup yang menuntut semua pihak tidak kira daripada pelbagai latar belakang politik duduk semeja membincangkan soal bagaimana boleh mencari penyelesaian kepada isu membelenggu rakyat itu.

Tegas beliau, sebarang pelantikan baharu jawatan dalam kabinet termasuk TPM tidak diperlukan pada ketika ini dan jika kerajaan tetap membuat keputusan melantik TPM, rakyat akan merasakan bahawa ia adalah satu pembaziran yang tidak perlu.

“Tambahan lagi, hangat diperkatakan ketika ini pembubaran Parlimen semakin hampir dan jika benar, maka tidak perlulah lantikan TPM.

“Jadi, jika desakan terus berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen memandangkan tempoh penggalnya hampir tamat tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh, pelantikan TPM hanya akan menambah jumlah anggota Kabinet yang sedia besar ketika ini dan isu ini tidak perlu pun dibangkitkan dalam keadaan rakyat yang terus tertekan.

“Kelangsungan rakyat lebih utama berbanding ahli politik. Daripada terus bergaduh soal jawatan kabinet, lebih baik serah kembali mandat kepada rakyat,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.