Dua Dekad Puteri UMNO Di Persada Politik, Terus Berjuang Demi Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata di usia dua dekad atau dengan tepatnya 21 tahun, Puteri UMNO telah melalui pelbagai zaman dan pemimpinnya silih berganti.

Ujarnya, ramai ahli yang berada di pelbagai peringkat masih setia sehingga kini dan ada juga yang sudah melompat ke parti lain meninggalkan perjuangan.

“Namun sayap bongsu parti ini terus kukuh, terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Selamat ulangtahun penubuhan Pergerakan Puteri UMNO kepada semua,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, penubuhan Puteri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Tertinggi (MT) pada 10 Julai 2000 dan 16 Oktober tahun yang sama badan tertinggi parti itu bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO sebagai sayap pergerakan, bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO.

Sayap bongsu pergerakan parti itu dilancarkan pada 3 Ogos 2001 yang diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman dan disusuli yang kedua, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Seterusnya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menjadi Ketua Puteri UMNO yang ketiga manakala keempat pula disandang oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang kini telah melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bermula tahun 2018, Zahida memegang jawatan tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.