Demi Rakyat, Ahmad Maslan Lontar Soalan COVID-19 Makin Baik Atau Teruk?

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bertanya kepada Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkenaan situasi semasa COVID-19 di negara ini.

Beliau pada masa yang sama turut meminta penjelasan berkenaan cacar monyet namun Dr Noor Azmi meminta untuk dijawab pada masa lain bagi menfokuskan berkenaan jangkitan COVID-19.

“Kelmarin 3,213 kes lapan kematian menjadikan 35,977 saya hendak bertanya timbalan menteri COVID-10 ini makin baik atau makin teruk?

“Yang kedua tidak ada kaitan tapi kalau tidak boleh jawab tidak mengapa… cacar monyet di Singapura sembilan kes, di Thailand dua kes dan Filipina satu kes, apakah langkah-langkah yang dibuat di Malaysia untuk memastikan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga,” soal beliau ketika sesi pertanyaan pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

Dr Noor Azmi ketika menjawab berkata meskipun kes harian penularan COVID-19 mencatatkan trend di sekitar 3,000 hingga 4,000 namun ianya masih dalam kawalan.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Angka kematian masih dalam single digit namun kami bimbang kerana dalam satu hari itu ada 10 kes saya sentiasa meniliti perkara ini sebab bimbang sekiranya meningkat kita tahu bahawa BA.4 dan B.A4.1 dan BA.5 punyai persamaan dari segi ketinggian penularannya tetapi tidak ada data-data yang menyebabkan keterukkan atau keseriusannya.

“Jadi kita lihat hari ini kes semakin naik berada di sekitar 3,000 hingga 4,000 dan kemasukan ke hospital meningkat namun kesiap-siagaan di hospital sebagainya itu masih terkawaltetapi kematian masih lagi di tahap tidak meningkat.

“Namun walaupun kes meningkat tetapi penularannya cepat sebab itu kita kena jaga SOP tapi dari segi keterukkannya lebih baik dari Delta,” ujar beliau.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sebentar tadi menerusi portal COVIDNOW memaklumkan jangkitan kes baharu pada Selasa kembali meningkat ke 4,204 berbanding 3,213 pada hari sebelumnya.

Manakala lapan lagi kematian dilaporkan di seluruh negara semalam, dua daripadanya berlaku sebelum tiba ke hospital atau brought in dead (BID). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.