Tiada Lagi Lompat Parti, Ketegasan UMNO/BN Bendung Budaya Negatif Demi Rakyat, Negara

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Tiada lagi lompat parti berlaku apabila kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkait larangan Ahli Parlimen bertukar parti dikuatkuasakan yang membuktikan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) tegas membenteras amalan tidak sihat daripada terus menular.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dalam mengulas berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang lulus dalam persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Katanya, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat lompat parti mampu mengembalikan keyakinan masyarakat kepada ahli-ahli politik setelah keadaan caca marba dalam negara berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Kita semua sedar bahawa keadaan kerajaan yang tidak stabil pernah berlaku dan perbezaan beberapa kerusi telah menjadikan segelintir wakil rakyat memberikan sokongan kepada pihak lawan atas beberapa tawaran termasuklah jawatan dan sebagainya.

“Hal tersebut berlaku berkali-kali dari zaman Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) yang memberi kesan besar kepada pentadbiran negara, maka dengan adanya akta lompat parti tentunya keadaan akan berubah dan nilai integriti dalam parti juga lebih bermakna,” katanya.

Kerana itu katanya, ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib Presiden UMNO terserlah sebagaimana keseriusan beliau mahukan kestabilan dalam pentadbiran Keluarga Malaysia.

“Kita perlu akui bahawa UMNO/BN adalah parti yang benar-benar mahukan kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan secara holistik iaitu bukan kepada negara semata-mata tetapi juga meliputi rakyat juga.

“Maka dengan adanya akta ini, gangguan atau ugutan daripada pihak berkepentingan yang mahukan kedudukan atau kuasa dapat dielakkan dan PM akan dapat memberikan tumpuan untuk pelaksanaan pemulihan ekonomi rakyat, insyaAllah,” katanya lagi kepada UMNO Online.

Dilaporkan Khamis lalu Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan iaitu sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.
Perkara terbabit diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas pindaan itu dibahaskan 54 Ahli Parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.