Terus Kukuhkan Media Sosial, Lawan Anasir Jahat Pembangkang – Norshida

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berharap agar gerak kerja media sosial UMNO terus diperkukuhkan bagi melawan segala anasir jahat yang dibawa oleh pelbagai pihak khususnya pembangkang.

Jelasnya, tragedi kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah disebabkan tertipu dengan fitnah yang dibawa oleh pihak pembangkang serta gagalnya UMNO/BN untuk menguasai media sosial.

“Justeru, daripada saya selaku Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia telah menggerakkan CREW (Cyber Rangers Wanita), ianya adalah satu kumpulan yang mana kita bentuk daripada peringkat negeri bagi memastikan segala input ataupun maklumat semasa sampai kepada akar umbi.

“Sekarang ini kalau kita lihat, isu semasa panas. Sana sini mengatakan isu semasa khususnya tentang harga barang, tentang pengangguran yang ada di kalangan orang-orang muda, tentang keciciran pendidikan daripada segi anak-anak kita dan kita mengharapkan semoga pelan tindakan yang telah diadakan ataupun yang telah dirangka oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri kita dapat menyelesaikan masalah ini dan sedikit sebanyak ianya dapat disalurkan di peringkat bawahan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat turut berkongsi gerak kerja Wanita UMNO di peringkat nasional bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat di setiap peringkat.

“Daripada segi gerak kerja Wanita di peringkat nasional, kita dah lihat pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Noraini Ahmad yang mendekati pemimpin masyarakat di peringkat negeri-negeri, turun padang, bertanya khabar, mengadakan program kolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ianya dilihat memberi impak yang tinggi.

“Sebenarnya kalau kita lihat, ketua kita ini telah bekerja dengan sehabis baik, dengan kuat untuk memastikan supaya kita ini adalah satu keluarga yang kuat untuk memastikan sokongan rakyat atau sokongan akar umbi kepada BN tetap kukuh dan utuh.

“Dan bila kita telah melepasi atau telah menjalankan gerak kerja yang sedia ada, Wanita ini sebenarnya di peringkat akar umbi khususnya macam saya, Ketua Wanita Bahagian, pertemuan ataupun perjumpaan serta mendekati masyarakat, engagement di antara pemimpin dengan akar umbi tu sangat penting supaya kita dilihat relevan. Pemimpin yang ada di satu kawasan itu relevan dan diterima oleh masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar pemimpin-pemimpin daripada UMNO/BN sentiasa ada dan tidak melakukan kerja secara bermusim seperti Pakatan Harapan (PH).

“Jadi kita mengharapkan semoga pemimpin-pemimpin akan ada dan tidak kerja bermusim. Kalau kita lihat, PH, dia bekerja bermusim. Bila nak PRU ni kita dah nampak dah wajah-wajah ni keluar dan sekarang ni kita dah lihat dah fitnah-fitnah telah bertaburan yang telah dibuat oleh saudara Rafizi. Dia telah adakan roadtour satu Malaysia, jelajah ke negeri-negeri untuk menghasut.

“Tapi kita mengharapkan dengan kebijaksanaan anak-anak muda kita yang telah lalui selama 22 bulan… yang sangat susah dan kita sebagai seorang pemimpin pun merasai bagaimana susahnya melalui fasa tersebut. Kita minta dengan adanya minda yang sihat, bukan mengikut emosi dan perasaan, dapat menilai bagaimana pemimpin-pemimpin kita khususnya pemimpin daripada BN mentadbir kerajaan sehabis baik.

“Bila kita lihat sekarang pemimpin kita yang mentadbir kerajaan, kita sepatutnya memberi pujian yang tinggi kepada menteri-menteri yang bekerja kuat, yang memastikan segala input dan segala maklumat-maklumat sampai. Segala bantuan-bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan khususnya sampai ke akar umbi,” katanya lagi. – UMNO Online

 

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.