Tahniah MB Kedah RM600 Juta Dikocek Rizab… Sedarkah Ada Rakyat Terbiar Tak Mandi?

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohamad Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, apa guna berbangga dengan nilai RM600 juta dikocek rizab negeri, namun berbaloikah penjimatan itu jika ianya menjejaskan hidup rakyat Kedah.

Justeru beliau menyarankan agar kerajaan negeri berbelanja demi kesejahteraan rakyat dan berjimatlah secara berhemah dengan mengambil kira keutamaan rakyat agar terlaksana serta masa depan rakyat Kedah terjamin.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MB Kedah setelah baru-baru ini diumumkan negeri berkenaan mempunyai rizab kerajaan negeri RM600juta dan jika benar ia mungkin satu pencapaian yang luar biasa.

“Persoalannya, mungkinkah MB Kedah tidak belajar ekonomi fiskal hingga takut berbelanja untuk kesejahteraan rakyat Kedah? Tidak dinafikan bahawa langkah berjimat cermat itu bagus untuk kantung Kerajaan Negeri, namun berbaloikah penjimatan itu jika ianya menjejaskan hidup rakyat Kedah?

“Sebagai contoh, SADA ditubuhkan pada tahun 2010 pada zaman pentadbiran PAS Kedah setelah JBA dimansuhkan. Ketika mengambil alih, SADA terus mengguna pakai jaringan paip JBA yang sudah sekian lama tidak ditukar ganti. SADA mencatat keuntungan pada tahun-tahun awal penubuhannya ekoran hanya mengguna pakai aset sedia ada. Tahun-tahun berikutnya, paip-paip lama peninggalan JBA itu mula mendatangkan masalah dan pecah di sana sini, serta memerlukan kos membaik pulih paip,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama tambah beliau lagi, pembangunan yang pesat berlaku di Kedah, namun jaringan paip lama JBA yang sering pecah sana-sini itu masih digunakan menyebabkan kadar NRW (Non Revenue Water) meningkat lebih 50 peratus, sekali gus menyebabkan tekanan air rendah.

Kata beliau lagi, kerajaan BN Kedah terdahulu menyedari hakikat ini, segera mengambil inisiatif menaiktaraf sekurang-kurangnya lima LRA, melaksana projek menukar ganti jaringan paip dan membina jaringan paip baharu sehingga kadar NRW kembali di bawah 50 peratus.

“Namun setelah PRU14 kerajaan Pakatan Harapan (PH) kemudiannya tangguhkan projek-projek berkenaan, malah ada yang telah dibatalkan begitu saja. Kita mengambil maklum Kerajaan Pas Kedah kini menyambung kembali inisiatif Kerajaan BN itu, dengan bantuan yang diperoleh dari Kerajaan Persekutuan dan projek-projek berkenaan khabarnya dijangka siap pada tahun 2024 hingga 2026.

“Malangnya, biarpun menyedari masalah bekalan air di Kedah tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, MB Kedah tidak sanggup berbelanja untuk mengurangkan kadar NRW secepat mungkin.

“Padahal, projek-projek berkenaan boleh dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai lebihan kewangan untuk dibelanjakan demi kesejahteraan hidup rakyat. Malah, mungkin perbelanjaannya boleh dijimatkan jika dilaksana secara ‘in house’,” ujarnya.

Ujar beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, dengan nilai rizab RM600juta yang diumumkan, sedarkah MB Kedah rakyat Pendang baru-baru ini tidak dapat mandi dengan sempurna, terpaksa menahan air besar, tidak dapat cuci kain baju dan pinggan mangkuk, serta terpaksa menunggu lori tangki SADA lebih 24 jam meskipun laporan telah dibuat lebih awal.

“Malah, Bukan sahaja Pendang tapi Kuala Kedah, Sungai Petani, Merbok dan sebahagian Alor Setar juga sering menghadapi masalah yang sama. Isunya adalah kesan dari paip-paip lama ini yang diibaratkan seperti ‘bom jangka’.

“Pandangan saya, itu bukan jimat tapi lebih kepada kedekut! Sedangkan MB Kedah pernah akui infrastuktur air Kedah ketinggalan 20 tahun dan juga dengan penambahan LRA baru ini akan lebih memburukkan lagi masalah NRW di Kedah,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.