RUU Lompat Parti: PM Dari UMNO/BN Berjaya Bawa Usul Hingga Lulus, Bukti Komited Laksana Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat respon yang baik dari kalangan kepimpinan parti.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menganggap kelulusan tersebut adalah satu kejayaan dan bukti bahawa kepimpinan dari UMNO/Barisan Nasional (BN) komited dan mengutamakan kepentingan umum.

Katanya, setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, dua Perdana Menteri (PM) terdahulu gagal merealisasikan hasrat untuk lompat parti dijadikan satu akta bagi membendung hal terbabit, malah berkali-kali berlaku hal sedemikian yang menjejaskan kelancaran pentadbiran negara.

“PM dari UMNO/BN baharulah lompat parti dapat dibentang, dibahas dan diluluskan dalam Parlimen.

“Ini adalah bukti dan komitmen kepimpinan UMNO/BN sentiasa mengutamakan kepentingan umum iaitu rakyat dan negara yang terkesan apabila berlakunya wakil rakyat yang melompat dari parti dianggotainya hinggakan pentadbiran negara boleh kucar-kacir,” katanya kepada UMNO Online.

Dengan ini, beliau yakin bahawa rakyat tentunya dapat menilai berkaitan kesungguhan UMNO/BN sekiranya terus diberi mandat bagi menjadi teraju kepada pentadbiran negara selepas PRU ke-15 kelak.

“Selepas PRU-14 kita dah lihat sendiri bagaimana tindakan segelintir wakil rakyat yang telah lompat parti hinggakan kerajaan pun boleh bertukar-tukar dan natijahnya kesan buruk kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.

Dilaporkan, Khamis lalu Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan iaitu seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.