Langkah Tepat, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 Ke Jawatankuasa Pilihan Khas – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menganggap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang ditangguh dan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas adalah langkah yang tepat.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, perkara-perkara yang baik tidak perlu dijadikan isu kerana akhirnya merugikan pihak yang berkaitan.

“RUUKawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 banyak diperkatakan dalam media massa dan media sosial. Malaysia adalah negara kedua selepas New Zealand yang mengutarakan RUU ini,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Katanya, ada pandangan-pandangan yang positif dan pandangan yang berbeza namun diputuskan bahawa RUU ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas bagi meneliti apa yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

ahmad maslan

“Jadi hari ini tidak akan diluluskan lagi, akan ditangguhkan dan kita mengharapkan jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen Baling, Ahli Parlimen Parit dan Ahli Parlimen Pengerang selaku wakil UMNO supaya mereka akan memberikan input-input yang positif bagi memastikan perkara yang baik untuk rakyat boleh dibuat dan pada masa yang sama perkara yang kontroversi akibat daripada pelaksanaan RUU ini boleh dapat diatasi.

“Oleh itu pada pandangan saya adalah tepat bahawa RUU ini ditangguh dan dibawa ke jawatankuasa terbabit,” katanya lagi.

Terdahulu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 yang mendapat perhatian banyak pihak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.