Kembalikan Semula Kuasa Kepada UMNO/BN, Yakin Dapat Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengerusi Tetap Veteran UMNO, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz mengajak rakyat untuk memberikan semula kuasa kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana yakin parti tersebut mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Jelasnya, kedudukan menteri dalam kabinet yang diisi oleh ‘katak’ politik menyebabkan rakyat menunding jari kepada UMNO/BN apabila mereka melakukan kesilapan dalam mentadbir negara.

“Pandangan rakyat apabila sebut kerajaan tu, mereka tak boleh lari daripada UMNO dan BN. Dulu masa Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir balik jadi perdana menteri selama 22 bulan tu, yang menggelongsor ekonomi, orang salahkan UMNO/BN juga sedangkan kita tiada kuasa langsung pada waktu itu.

So, let’s give the power back to UMNO/BN, kita boleh selesaikan masalah ini, insya-Allah. Saya yakin. Sekarang ni nak buat macam mana, sebab menteri yang jaga KPDNHEP bukan daripada UMNO. Timbalan menterinya pula ‘katak’ datang daripada UMNO. Menteri pertanian juga ‘katak’ datang daripada UMNO. Jadi mereka ini bukan UMNO. Yang terkesan sekarang ni kita. Mereka buat silap kita yang kena. Ini keadaannya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya lagi, parti keramat UMNO ini mempunyai pengalaman dalam mengendalikan krisis sejak pasca-merdeka dan mempunyai cara serta kemampuan tersendiri untuk menyelesaikan krisis.

“Saya yakin walaupun negara sedang mengalami krisis dunia, ini kena ingat… ya krisis dunia kita akan mengalaminya dengan begitu teruk, hyper-crisis Amerika dan sebagainya. Insya-Allah, pulangkan kembali kepada kepimpinan UMNO, we know what to do. UMNO ada cara dan kemampuan untuk mengendalikan masalah.

“Kita pernah mengalami krisis. Daripada post-kemerdekaan, pasca-kemerdekaan, kita membangunkan rakyat kemudian kita mengalami krisis kejatuhan wang yang begitu teruk sekali. Kita mengalami kerugian RM30 bilion.

“Sebab tu saya katakan jangan tuduh UMNO, tuduh pemimpin terdahulu. Dr Mahathir dulu dia yang buat apa semua. Saya kira-kira RM7.8 bilion wang negara ke longkang era Dr Mahathir, tapi dia masih mengatakan salah orang UMNO. Ini saya tak bersetujulah. UMNO adalah parti yang menaungi bangsa Melayu khususnya dan rakyat amnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.