Ubah Terengganu: Aspirasi Rakyat Mahu BN Kembali Tadbir Negeri – Tengku Haphiz

KUALA BERANG, 1 Ogos – Realitinya, Ubah Terengganu adalah aspirasi rakyat yang mahukan perubahan kerajaan di negeri itu, ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Tengku Haphiz Tengku Putera.

Menurutnya, setelah lebih tiga tahun di bawah Pas rakyat mula membuat perbandingan dan mengakui bahawa kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) lebih merasai denyut nadi rakyat dengan menjaga kebajikan dan kepentingan mereka.

“Sebab itu perkataan paling tepat adalah Ubah. Kita telah bergerak ke seluruh bahagian, negeri… yang terlibat dalam program Ubah ini ramainya di kalangan anak-anak muda yang dulunya mereka ini memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan negeri hari ini dalam sokongan politik iaitu kepada parti Pas.

“Jadi bila mana mereka ini merasai kesan yang sama, terkesan dengan polisi yang ‘kluk-klek’ (loghat Terengganu bermaksud sering berubah-ubah) menguruskan negeri itu tidak serasi dengan orang muda menyebabkan mereka mengambil langkah untuk bersama dengan kita.,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya, Tengku Haphiz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu percaya rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akan membuat perubahan.

“Jadi secara keseluruhannya saya tengok Ubah Terengganu adalah ‘direction’ yang paling tepat kepada rakyat dan saya percaya selepas ini rakyat sendiri akan membuat perubahan secara total.

“insya-Allah kami di peringkat parti meyakini mereka ini mahu kembalikan semula negeri ini kepada pemerintahan Barisan Nasional. Asasnya mudah apa yang dulu kita buat sekarang ini Pas tak boleh buat,” katanya lagi.

Justeru, Tengku Haphiz juga yakin BN akan kembali memegang tampuk kerajaan di negeri Terengganu dengan syarat mempunyai visi yang jelas untuk masa hadapan dan berkredibiliti.

“Insya-Allah kalau melihat respon sangat baik, ‘mood’ rakyat untuk mendapat kerajaan baru sangat bagus, tinggal lagi UMNO kena tunjukkan kredibiliti.

“Maksudnya kita tidak akan mengulangi kesilapan yang lama, ada aspirasi baru, menunjukkan visi yang jelas untuk kestabilan masa hadapan dan mempunyai kumpulan kepimpinan yang memiliki pengalaman yang baik dalam mengurus negeri.

“Terakhir sekali kita mesti meletakkan calon yang boleh memberi harapan baru kerana rakyat memilih mesti berasaskan harapan. ‘Mood’ itu sudah kembali,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.