Terjemahkan Semangat Konvensyen BN Selangor Pada PRU – Ahmad Zahid

SHAH ALAM, 1 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semangat yang ditunjukkan pada Konvensyen BN negeri itu hari ini dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau semangat dan hasrat untuk menawan semula negeri tersebut dan menjadikan harapan rakyat Selangor agar BN menerajui negeri itu tidak akan kesampaian sekiranya tidak disusuli dengan kerja keras.

“Hasrat konvensyen BN Selangor hari ini yang berlangsung selama satu hari perlu diterjemahkan. Kita tidak boleh lagi terikat cara atau kaedah konvensional.

“Realiti yang berada di depan kita sesuatu yang luar biasa perlu dilakukan dalam suasana politik luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen BN Selangor yang diadakan di sini, malam tadi. Turut serta Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta pimpinan BN Pusat dan Selangor.

Ahmad Zahid seterusnya menambah dinamik politik Selangor memerlukan perubahan drastik dalam beberapa aspek pelaksanaan agar matlamat serta usaha BN untuk berkhidmat kepada rakyat negeri tersebut dapat direalisasikan.

“Kedinamikan politik di Selangor dambakan perubahan drastik dan perubahan ini tidak boleh hanya seladar retorik semata-mata.

“Saya sebut kosmopolitan…pemimpin juga harus kosmopolitan… itu hakikatnya…bagaimana kaedah kita dekati hati rakyat yang rata-rata berada dalam komuniti pelbagai,” katanya.

Tambahnya lagi, kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan ‘template’ atau acuan.

Sebaliknya jelas beliau lagi perlu dilakukan ‘game changer’ dengan mengambil kita beberapa aspek.

“Kita ramai tokoh profesional di Selangor dan kita perlu berjiwa besar.  Kalau ada tokoh daripada mana sekalipun kita alu-alukan untuk membantu BN Selangor. Kita beri peluang dan jika orang itu boleh membantu apa salahnya,” ujarnya.

Ujar Ahmad Zahid lagi, resolusi yang dibincangkan pada konvensyen hari ini pastinya telah melontarkan beberapa pandangan baharu BN Selangor untuk bergerak.

“Turunlah ke kawasan masing-masing dan pastikan jentera kita ambil peduli. Tidak ada sesuatu yang mustahil…lakukanlah dengan terbaik… cahaya terowong sedang menunggu kita dan insya-Allah BN akan bangkit semula di Selangor,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.