Tengku Zafrul Bersyukur Diberi Kepercayaan, BN Platform Terbaik

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Bendahari Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN pusat dan negeri di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab menjawat jawatan tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau yang baharu sahaja dilantik sebagai Bendahari BN Selangor menyatakan komitmen akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan.

“Sebagai orang baru dalam politik, sudah tentu saya memerlukan kerjasama dan perkongsian pengalaman dari pucuk pimpinan dan rakan-rakan BN.

“Saya percaya BN adalah platform terbaik sebagai penyatu pelbagai kaum, generasi dan kumpulan dalam negara,” ujarnya yang juga Menteri Kewangan.

Malam tadi, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar mengumumkan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN negeri yang baharu menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kini dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Noh ketika berucap pada Majlis Penutup dan Makan Malam Konvensyen BN Selangor di sini malam tadi di hadapan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.