Dua Keputusan Penting Politik Kukuhkan Perpaduan Parti, Dakap Potensi Kemenangan – Reezal

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Keputusan signifikan dan penting yang berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari memberikan indikasi cukup jelas bahawa kepimpinan kerajaan dan UMNO mutakhir ini tidak gentar untuk memulakan ruang perubahan dan transformasi politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kejayaan ikhtiar Pindaan Perlembagaan bagi memastikan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dilaksanakan dengan cukup kemas dan tuntas.

Tambahnya kejayaan ini terlaksana dengan komitmen jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengukuh persefahaman dan persetujuan rentas parti.

“Sebaik sahaja RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) meluluskan pula permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti, ia seakan mengesahkan bahawa janji dan komitmen beliau yang diberikan sewaktu menyokong usul di PAU (Perhimpunan Agung UMNO) Khas terlaksana tanpa sebarang keraguan.

“Perdana Menteri ternyata seorang yang tidak gemar memungkiri janji. Malah menidakkan sama sekali ‘teori dan anggapan’ beliau mempersiap landasan kukuh buat dirinya sendiri.

“Pukulan kilas politik, ‘a genius political stroke’, yang diterajui kepimpinan UMNO mutakhir ini, merupakan penterjemahan kematangan politik luar biasa. Ini sebenarnya nadi dan tradisi kekuatan UMNO buat berdekad lamanya. Bagai menghela tali jala, rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan. Yang mustahak, tali jangan putus, kaitan jangan serkah,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Reezal seterunsya menambah wajar ditegaskan, tindakan politik seorang Perdana Menteri yang belum pun genap setahun usia pentadbiran ini amat luar biasa dan berani malah dalam banyak hal, beliau sentiasa mengutamakan dan mendahulukan parti.

“Alhamdulillah, kebijakan ini juga dituruti dengan pernyataan jelas Presiden UMNO bahawa beliau tidak mempunyai sifat dendam dan kesediaan beliau untuk sentiasa memaafkan. Tanpa sebarang keraguan, saya menganggap dinamik politik mutakhir ini akan meletakkan saf kepimpinan UMNO baik yang berada di dalam saf kepimpinan parti mahupun kerajaan di landasan yang sama dan serupa.

“Ini waktu dan ketikanya, hela dan gema nafas kepimpinan UMNO berdegup di paras gelombang dan tahap yang sama. Tidak sewajarnya ada lagi “denyut pandangan sumbang” yang membangkitkan rasa marah dan syak wasangka. Kita sudah terlalu jauh menyeberangi ombak rasa kurang senang dan keraguan yang tidak munasabah,” jelas  Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi.

Ulasnya lagi apa sahaja keputusan baik yang mengukuh jala kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti diambil sebagai azimat kekuatan.

Katanya lagi seluruh kepimpinan UMNO baik di pusat, negeri dan bahagian, demikian juga pemimpin di ribuan cawangan dan akar umbi wajar bersedia sebaiknya untuk Pilihan Raya Umum (PRU).

“Tidak wajar ada lagi sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Yang ada hanyalah ruang memperkasa parti mencari jalan dan wadah kemenangan dalam PRU yang akan datang.

“Rangkuman kekuatan fikir dan tindakan Presiden, Perdana Menteri, Timbalan Presiden, Ahli MKT, anggota Jemaah Menteri akan meletakkan UMNO di kedudukannya yang paling kukuh dan kuat.

“Pada pandangan saya, palu genderang sebenar PRU-15 sudahpun bermula. Segala kekuatan UMNO yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.