BN Sambut Baik Kelulusan RUU Anti Lompat Parti, Menjamin Kestabilan Dan Kemakmuran Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pengundian dan persetujuan Ahli-ahli Dewan Rakyat seramai 209 undi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 amat membanggakan sekaligus merencanakan budaya politik yang baru dan bertanggungjawab di kalangan Ahli-Ahli Dewan.

Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan RUU ini yang bertujuan melarang dan mengawal selia tindakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada bertukar atau ‘melompat’ parti.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peristiwa-peristiwa Ahli-Ahli Dewan melompat serta bertukar parti dan kesetiaaan telah menyebabkan beberapa siri kerajaan bertukar di peringkat negeri dan persekutuan.

“Tindakan-tindakan ini juga telah menyebabkan kerapuhan kepercayaan kepada Ahli Dewan dan dunia politik negara.

“BN juga menerima baik penerimaan Dewan Rakyat dan Kerajaan yang mengiktiraf konsep ‘kepartian’ dan ‘berpersatuan’ dalam hubungan antara Ahli-Ahli Dewan dengan Parti yang mereka anggotai.

“Ini kerana bukan sahaja rakyat yang memilih seseorang Ahli Dewan tetapi pencalonannya juga disokong dan didokong oleh Parti dan ahli-ahli Parti yang memilihnya. Semestinya tangungjawab dan akauntibiliti Ahli Dewan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada Parti yang dianggotainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Dr Zambry lagi, BN juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memulakan inisiatif ini.

“la turut disokong bersama oleh Presiden-Presiden parti komponen BN. BN juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang membawa Usul ini di Dewan. BN turut mengucapkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang dipertanggungjawabkan mengenai RUU baru ini bagi pihak BN.

“BN turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen BN di atas komitmen dan kerjasama serta sebulat suara mengundi bagi meluluskan RUU ini dengan dua pertiga undian di Parlimen pada 28 JuIai 2022,” tambahnya.

Seterusnya ulas Dr Zambry lagi, BN mengajak semua Ahli-Ahli Dewan di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk mengamati dan memberi pengertian dalam tindakan kepada natijah RUU ini iaitu kesetiaan bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat.

“Syabas dan terima kasih kepada semua yang telibat dalam penyediaan, pembentangan, perdebatan dan pengundian RUU ini sehingga ia berjaya termaktub menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan Malaysia khususnya kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Yang Di Pertua Dewan Rakyat, dan parti-parti politik,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu.

Justeru katanya, BN di seluruh negara komited untuk melaksanakan segala yang termaktub dalam pindaan tersebut sebagai langkah ‘political resetting’ demi memastikan demokrasi dan integriti Ahli-Ahli Parlimen BN terus dipelihara.

Begitu juga tambahnya, BN berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kesedaran dan keprihatinan berkenaan kepentingan dan keutamaan untuk menstabilkan sesebuah kerajaan melalui RUU Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 ini mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/08/KM-SUA-BN-Bil-4-2022.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.