Puteri Pendukung Aspirasi Perjuangan Wanita Muda – Zahida

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata sayap parti merupakan pelengkap kepada organisasi dan bersifat pengukuh kepada badan induk itu sendiri.

Menurutnya, tidak pernah bertujuan menjadi saingan kepada mana-mana sayap lain namun beliau berkata Puteri hanya wujud di dalam parti-parti komponen tetapi tidak menjadi sebahagian dari institusi dalam sistem Barisan Nasional (BN).

Jelas Zahida ini menunjukkan sudah tiba masanya untuk mewujudkan sayap wanita muda dalam BN secara rasmi bagi mendukung aspirasi perjuangan golongan ini.

“BN ada sayap wanita dan pemudanya tetapi belum ada sayap Puterinya ketika pilihan raya diadakan satu pemandangan yang biasa apabila kita melihat wanita-wanita muda mengendalikan sistem maklumat dan IT di barisan depan pondok-pondok petugas jentera parti.

“Kebanyakannya ialah Puteri UMNO dan belum boleh dipanggil Puteri BN sebab itu dengan rendah diri di depan para hadirin sekalian saya memohon agar Pengerusi mengajukan kepada Dewan Tertinggi BN untuk segera mewujudkan secara rasminya Sayap Puteri BN.

“Kita mahu dalam PRU akan datang, di barisan depan wanita muda itu adalah Puteri BN. Kita mahu wajah-wajah itu adalah wajah wanita muda berbilang kaum yang mewakili Puteri BN,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Puteri BN yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung , Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Puteri MIC, Shaliny Rajaram; Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen; Ketua Puteri KIMMA, Rohaini Syed Ibrahim serta barisan kepimpinan lain.

Jelas Zahida ini kerana ideologi UMNO dan BN tidak pernah merendahkan martabat wanita bahkan dari awal lagi soal wanita berhak mengundi tidak pernah menjadi isu.

Tambah beliau, sejak Merdeka BN mengiktiraf wanita sebagai work force penting dalam pembinaan insan di negara ini bahkan sudah lama terkeluar dari mana-mana zaman gelap yang meletakan wanita sebagai kaum kelas kedua yang hanya layak menjalankan tugas rumah tangga semata-mata.

“Kita percaya wanita berhak mendapat pendidikan yang sama dengan lelaki. Kita antara pelopor kepada perjuangan gaji yang sama wanita dan lelaki. Bahkan pencapaian wanita seperti menjadi Ketua Hakim Negara dan Gabenor Bank Negara adalah hasil perjuangan orang terdahulu yang dipelopori oleh UMNO melalui Perikatan dan BN.

“Semangat Merdeka yang akan disambut mulai esok mesti diteruskan, bukan hanya merdeka daripada penjajah tetapi juga memerdekakan Wanita dari sebarang diskriminasi dan eksploitasi.

“BN adalah parti progresif kerana ia didukung oleh pemimpin yang progresif parti kita sudah lama memandang ke depan dan mengeluarkan wanita Malaysia dari sebarang belenggu yang mengikatnya untuk sama-sama maju ke depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.