Puteri BN Perlu Ada Pelan ‘Short Term’ Hadapi PRU-15 – Mohamad

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap Puteri BN yang bakal ditubuhkan secara rasmi kelak dapat memainkan peranan tersendiri untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana situasi politik yang tidak menentu ketika ini memerlukan persiapan sebaiknya kerana PRU-15 dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Menurut beliau, Puteri BN perlu menyediakan pelan jangka masa pendek bagi memastikan keutamaan BN untuk kembali menguasai Putrajaya.

“Kita sudah ada Puteri di peringkat parti komponen tetapi masih belum ada di peringkat BN jadi saya difahamkan telah pun diberikan memorandum kepada Pengerusi BN saya yakin ia akan dibawa ke Dewan Tertinggi.

“Selain dari itu, kita sudah nak dekat PRU bersiap sedia sekarang ni ada orang tak puas hati minta Timbalan Perdana Menteri tidak dapat, apa sahaja boleh berlaku jadi bersiap sedia.

“Puteri tidak boleh bercakap long term punya perancangan kena short term sebab keutamaan nak menang PRU BN kena rampas Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kena ada winning mentality (pemikiran menang), winning strategy (strategi menang) dan winning move (gerak kerja menang) di setiap kawasan ada Puteri, mesti ada action plan, apa gerak kerja yang hendak dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Puteri BN yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Puteri MIC, Shaliny Rajaram, Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen, Ketua Puteri KIMMA, Rohaini Syed Ibrahim serta barisan kepimpinan lain.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Unit Risik Puteri yang memainkan peranan besar ke atas kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Jelas beliau ini kerana maklumat sebegini penting bagi memberi panduan kepada parti untuk merangka strategi terbaik.

“Saya amat gembira kerana Unit Risik Puteri yang dilakukan semasa piilihan raya terutama di Melaka dan Johor carian hampir sempurna.

“Unit risik ini yang terbaharu orang kadang-kadang bercakap secara berdepan banyak malu alah tapi dalam telefon dia akan cakap yang mahu

“Penting dalam war room kami jadikan ini panduan lihat keseluruhan ambil jalan kira maklum balas dan ini sebagai lampu suluh ketika berada dalam kegelapan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.