Kebijaksanaan Pimpinan UMNO Menguruskan Dan Mengelakkan Impak Yang Besar – Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sudah tentu tidak digemari oleh mereka yang mengharapkan ledakan dari pemilihan dalam UMNO, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Jelas beliau, kebijaksanaan pemimpin ialah bagaimana mengelakkan bencana atau menguruskan kemungkinan bencana.

“Seperti bencana alam adakala boleh jangka adakala sukar dijangka. Kebijaksanaan manusia bagaimana meramal, menguruskan dan mengelakkan impak yang besar.

“UMNO melalui proses pemilihan yang berkali-kali sejak diwujudkan. Tahun 1951 yang kalah keluar parti maka Pas lahir dari situ.

“Tahun 1987 pertarungan lebih besar hingga UMNO diharamkan. UMNO baharu dan Semangat 46 muncul dan bertaut kembali lapan tahun kemudiannya,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.

Seterusnya kata Shabery lagi, UMNO menang besar seluruh negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986.

“Paling besar di Kelantan dan UMNO menang semua kerusi Parlimen kecuali Bachok sahaja.

“Tahun 1990 selepas itu kesan dari perpecahan 1987.  UMNO hilang semua kerusi Parlimen dan DUNnya (Dewan Undangan Negeri) di Kelantan. Kesan selepas tiga tahun pemilihan 1987.

“Kalau pemilihan sekarang dan PRU (Pilihan Raya Umum) diadakan hanya beberapa bulan selepas itu banyak risiko yang terpaksa dihadapi. Menguruskan hati-hati manusia yang pelbagai niat dan kehendak lebih sukar dari menguruskan musim tengkujuh yang boleh dijangka,” tegasnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.