Jentera BN Harus Kerja Kuat , Yakin Dapat Pulih Keyakinan Rakyat – Mohamad Hasan

SEREMBAN, 30  Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Negeri Sembilan siap siaga apabila gendang di palu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, sekiranya hendak menang pada pilihan raya harus berkerja kuat dan bersedia bertempur dengan sebarang kemungkinan.

“Janganlah gundah gulana, jangan baru sekali kalah dah hilang keyakinan diri, kuatkan semangat dan bersedia berlaga. Nak berlaga buat cara berlaga, jangan risau dan paling penting kerja kuat dan menang di semua PDM.

“Tengok PDM, yang penting PDM mana yang ramai orang, PDM mana yang BN kalah dulu, PDM mana yang seri dan menang dan buatlah strategi supaya tahu apa yang kita buat dan kerja mesti fokus. Di Negeri Sembilan semangatnya kuat dan jentera pun disusun dengan baik dan BN telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Jangan toleh kebelakang lagi, jangan lagi tersangkut kerana isu-isu yang tak sepatutnya menyangkut kaki kita dan keutamaan kita hendak menang pilihan raya. Kita bersiap sedia… persiapan rapi kita kena buat betul-betul. Diperingkat PDM ini terjemahkan gerak kerja kita dan pastikan PRU-15 kita rampas semula Negeri Sembilan daripada PH, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini Jumaat.

Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung MIC, Rajasekaran Thiyagarajan; Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Friends of BN dan seluruh jentera BN Negeri Sembilan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyifatkan Pakatan Harapan (PH) bukannya satu gabungan yang kuat dan paling penting harus berkerja dan menyusun strategi untuk menang dalam pilihan raya.

“Kerja kuat dan susun strategi. Paling penting jangan bertelagah sesama sendiri dan berkerjasama UMNO, MCA, MIC sebagai keluarga yang besar. Tunjukkan kepada mereka bahawa BN bangkit semula di Negeri Sembilan. Boleh menang… PH bukannya kuat sangat.

“Rakyat mengetahui bahawa mereka (PH) tidak boleh percaya dan berjanji bermacam-macam pada pilihan raya lalu. Semua parti dalam negara ini sudah merasai jadi kerajaan dan sudah diberi peluang tetapi mereka gagal,” ujarnya lagi,

Sebab itu katanya, rakyat sudah kembali yakin BN boleh menjaga keamanan dan kestabilan Negara, tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.