Barangan Jenama COOP Mula Dijual September, Lebih Murah Hingga 25 Peratus

SERDANG, 30 Julai – Sebanyak lima barangan keperluan asas jenama COOP, melibatkan gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku, akan mula dipasarkan pada September ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata jenama di bawah inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu dijangka lebih murah antara 10 hingga 25 peratus berbanding harga pasaran setempat.

Beliau berkata kesemua barangan keperluan asas itu akan diimport dari negara seperti Thailand, Indonesia, Pakistan, India dan Brazil bagi mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah.

“Di peringkat permulaan, kita akan memasarkan di kedai koperasi yang ada di dalam negara ini, lebih kurang 3,000 koperasi, dan itu untuk peringkat pertama. Untuk peringkat kedua, kalau kita tengok perkara ini mendapat sambutan, kita akan jual juga di luar kedai koperasi tetapi dengan tanda perniagaan COOP.

“Tetapi harga COOP ini akan dikawal oleh SKM. Kalau kita dapat laporan mana-mana yang menjual barang yang menggunakan tanda perniagaan COOP ini tidak mengikut arahan yang ditentukan oleh SKM, maka kita boleh membatalkan mereka ini sebagai pengedar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2022 (HKN22) di sini hari ini.

Noh berkata ketika ini COOP hanya menawarkan lima jenis barangan keperluan asas tersebut, namun tidak menolak kemungkinan untuk memperluas ke beberapa barangan lain sekiranya mendapat sambutan.

Beliau berkata selain pasaran secara fizikal, produk jenama COOP itu juga dijangka dijual secara dalam talian mulai September.

Sambutan HKN22, diadakan serentak dengan Ekspo Koperasi Malaysia (ESKOM) bermula Khamis lepas hingga esok dengan 400 reruai koperasi dan usahawan disediakan.

Pada majlis itu, Noh turut melancarkan Buku 100 Tahun Gerakan Koperasi Malaysia dan Program Eksplorasi CoopUmrah. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.