RUU Lompat Parti: Inilah Pembaharuan Demokrasi, Wanita UMNO Sambut Baik – Norshida

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pindaan perlembagaan berhubung anti lompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Parlimen hari ini disambut baik.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata langkah tersebut bukan sahaja menjadikan suasana politik lebih stabil malah akan memberikan kepercayaan yang tinggi untuk rakyat membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau sejarah pasca PRU yang lalu menunjukkan bagaimana suasana politik yang tidak stabil malah keadaan berkenaan berterusan sehingga perdana menteri bertukar sehingga tiga kali dan ianya turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Alhamdulillah… ini adalah satu langkah yang berani dan amat tepat dalam usaha mengekang gejala lompat parti yang seolah-olah tidak ada kesudahan. Yang menjadi mangsa dan yang akan terkesan adalah rakyat sekaligus turut memberi impak negatif kepada negara.

“Apabila suasana politik tidak stabil sudah pastilah pelabur akan ragu-ragu untuk membuat pelaburan dan pada kaca mata dunia negara sudah pasti akan dipandang serong dalam soal demokrasi.

“Inilah langkah tegas yang diharapkan dapat mengekang budaya yang tidak bermoral ini. Lompat parti sudah tentu mengecewakan rakyat khususnya pengundi yang telah membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya berhujah demokrasi menerusi pilihan raya adalah yang terbaik namun apabila lompat parti seolah-olah menjadi budaya ianya akan memberikan imej yang tidak baik serta tidak sihat dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Wanita UMNO menyambut baik usaha ini dan hari ini ianya mencatatkan sejarah yang tersendri apabila diluluskan di parlimen. Semoga ianya meningkatkan lagi demokrasi yang diamalkan sejak sekian lama sekaligus melonjakkan keyakinan rakyat untuk sama-sama menjayakan proses demokrasi pada PRU nanti.

“Paling penting dan paling utama sudah pasti kita tidak lagi mahu melihat budaya ini berlaku dan inilah hasrat kita… inilah kemahuan kita. Beri ruang dan peluang kepada mana-mana parti yang dipilih untuk melaksanakan amanah yang diberikan dan bukannya mengambil tindakan yang pada kita untuk kepentingan diri semata-mata,” tegasnya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan perlembagaan berhubung anti lompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Ia diluluskan untuk bacaan ketiga walaupun terdapat ahli parlimen yang berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh berhubung isu berkenaan.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang, manakala 11 orang tidak hadir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.