Rizam Usul Kerajaan PH Selangor Tubuh Jawatankuasa Pemantauan RS-1

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pihak Pembangkang secara prinsipnya, tidak mempunyai isu untuk menyokong segala inisiatif dan usaha yang baik daripada Kerajaan Negeri Selangor, kerana pada akhirnya diberi mandat oleh rakyat untuk
memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Demikian kata Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berhubung pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sokongan ini adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada penilaian prestasi Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan dasar dan projek yang dijanjikan.

Dalam hal ini beliau mengusulkan agar penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang turut dianggotai oleh wakil daripada pembangkang dilaksana.

“Jawatankuasa bipartisan ini akan bakal memastikan pelaksanaan projek-projek yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri di dalam RS-1 dapat dipantau pelaksanaan dan kemajuannya serta melalui semakan berkala. Jawatankuasa ini juga dapat memastikan langkah intervensi awal diambil sekiranya terdapat projek-projek utama berkaitan rakyat, yang berisiko untuk mengalami kelewatan ataupun terbengkalai.

“Atas kekecewaan memandangkan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri tidak mengadakan sebarang libat urus bersama pihak pembangkang di dalam perancangan RS-1, saya juga menzahirkan harapan agar kerajaan negeri mengambil kira peranan pihak Pembangkang di dalam penggubalan dasar-dasar penting seumpama ini di atas semangat bipartisan demi kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Melalui kenyataan media, beliau menyuarakan beberapa isu utama dan kebimbangan kepada pihak kerajaan negeri seperti berikut:

Pertama, saya mendapati sebahagian daripada intipati ucapan oleh YAB MB bukanlah sesuatu yang baharu bahkan banyak program atau inisiatif yang hanya dijenamakan semula untuk ditampilkan kononnya sebagai idea baharu dan segar. Ada projek yang sama tetapi sudah berkali-kali disebut sejak daripada pembentangan Bajet sehingga ke RS-1, cuma dengan nama yang berbeza. Tetapi realitinya, tiada apa pun kemajuan sebenar di lapangan.

Misalnya, pada pembentangan Bajet 2022 tahun lepas, YAB MB telah mengumumkan pelaburan sekitar RM1.08 bilion untuk pembangunan sektor pertanian dan pengeluaran makanan di Sabak Bernam, tetapi tiada apa pun yang signifikan dilaksanakan pada hari ini. Tiba-tiba semalam, YAB MB mengumumkan pula Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang disangka benda baharu, tetapi rupa-rupanya benda yang sama sahaja cuma dijenamakan semula.

Kedua, pelbagai rancangan dan projek hebat telah dicanangkan dalam tempoh lima tahun ini. Tetapi kami menuntut perincian yang lebih mendalam mengenai garis masa atau timelines bagi memastikan apa yang dijanjikan itu adalah realistik.

Saya juga menekankan bahawa bukan semua perkara adalah bersifat jangka masa panjang yang hanya indah di atas kertas, tetapi ada perkara yang memerlukan intervensi dan pelan tindakan segera. Misalnya, perlu ada langkah drastik bagi mendepani bencana banjir kerana ini bukan isu lima tahun sekali. Krisis iklim telah menyebabkan bencana alam seperti banjir berada di luar jangkaan dan memerlukan tindakan ke atas segala perancangan dengan kadar yang segera.

Ketiga, kita telah mendengar YAB MB mengumumkan pelbagai projek mega. Kita ingin tahu apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membiayai tawaran-tawaran dan janji-janji manis ini? Adakah sekadar bergantung kepada hasil daripada kutipan cukai dan premium tanah sahaja, ataupun menggunakan kaedah PFI, ‘land swap’ ataupun penjualan aset kerajaan negeri? Justeru itu, saya menuntut YAB MB dan kerajaan negeri untuk memberi perincian yang menyeluruh dan telus berkaitan punca hasil kerajaan negeri bagi pembiayaan projek-projek mega ini.

Keempat, saya juga telah membangkitkan soal tadbir urus dan prestasi pengurusan aset yang lemah oleh kerajaan negeri. Kemelut Stadium Shah Alam; status Hotel Carlton dan Bangunan Yayasan Selangor yang terbengkalai; kemajuan (progress) pembangunan projek perumahan yang perlahan dengan pelbagai penjenamaan; serta banyak lagi. – UMNO Online

Download (PDF, 111KB)