Undang-Undang Larangan Lompat Parti Komitmen Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti merupakan suatu komitmen undang-undang untuk rakyat, daripada rakyat dan kerana rakyat, kata Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menegaskan demikian, beliau berkata senario Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor memperlihatkan jumlah pengundi yang keluar tidak ramai adalah tanda bahawa rakyat sebenarnya marah dan muak dengan sikap ahli-ahli politik.

“Saya dengar dalam libat urus kerajaan dan pembangkang banyak mempersoal macam-macam isu, bagaimana jika dipecat, bagaimana jika dibuang…jawapan saya ini adalah undang-undang perlembagaan untuk rakyat, dari rakyat dan kerana rakyat. Nak bercakap tentang orang politik, takkan kita nak adakan akta lompat parti? Kita mesti menerima hakikat yang kita derhakakan itu adalah rakyat. Kita tahu rakyat undi kita kerana kita bertemu mereka lima tahun sekali paling lama pun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina yang turut menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti berkata tindakan kerajaan membentangkan pindaan Perlembagaan itu merupakan manifestasi untuk mewujudkan “political resetting”.

Selain itu beliau berkata ia juga adalah hasil kejayaan paling utama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Kalau ketua majlis tidak membenarkan, sampai ke kiamat kita tidak boleh bincang RUU Anti Lompat Parti tetapi beliau berjiwa besar walau apa pun tuduhan demi tuduhan,” katanya.

Kepada celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang membangkitkan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan sekiranya negeri-negeri tidak bersetuju dengan pindaan itu, Azalina berkata jawatankuasa itu berpandangan keputusan negeri perlu dihormati.

“…kita ni rakyat beradab dan kita tahu kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar mempunyai Duli Yang Maha Mulia Sultan dan akan memberikan pandangan mereka.

Kita harus menghormati walaupun undang-undang Persekutuan melebihi dan dalam isu antara negeri dan persekutuan dalam Perlembagaan (seperti) isu alam sekitar dan tanah pun kita dalam mod perbincangan kerana elemen peradaban kita sebagai negara persekutuan,” katanya.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Menurut Ismail Sabri, pindaan digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu, juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.