SOSMA Lulus, Bukti Kerajaan Ismail Sabri Stabil Dan Telus – Dr Najmil
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari yang diluluskan Dewan Rakyat disambut baik.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata ramai yang mengecam SOSMA dengan mengatakan ia adalah zalim dan kejam malah sering disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Realitinya, ISA telah dimansuhkan pada 2012 bagi memastikan undang-undang pencegahan seperti ini tidak digunakan dengan sewenangnya. SOSMA amat diperlukan dan ianya lebih baik berbanding ISA. Orang politik dan aktivis jangan risau kerana dalam subseksyen 4(3) SOSMA jelas menyebut ‘bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politiknya’.
“Kedua, SOSMA ini lebih berperikemanusiaan berbanding ISA kerana pihak polis perlu mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke 21 tahanan ditahan berdasarkan subseksyen 4(9).Hal ini menunjukkan pihak polis hanya mempunyai 20 hari sahaja, untuk melakukan siasatan di mana tahanan ada akses kepada peguam dan kemudian mereka akan dibicarakan di mahkamah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Dr Najmil, ini jauh berbeza dengan ISA yang membenarkan tahanan di tahan selama 60 hari, tidak mempunyai akses kepada peguam dan akan selepas itu perintah tahanan dikeluarkan tanpa bicara.
“Lulusnya usul ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pihak berkuasa dalam melakukan tugas, malah membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob stabil walaupun sering diancam musuh politknya.
“Selain itu, kita juga dapat lihat bahawa Perdana Menteri berani dan terbuka melakukan reformasi dalam menambahbaik ketelusan pentadbiran dan undang-undang ke arah ‘good governance’,” ujarnya. – UMNO Online