Pindaan Perlembagaan: Ahli Parlimen Lompat Parti Hilang Kerusi – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Seseorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan Perlembagaan yang digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu.

“Fasal baharu 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata perkara sama turut terpakai kepada Ahli Parlimen Bebas yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat menyertai suatu parti politik.

“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun seseorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Rang undang-undang itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

“Fasal baharu 3 bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48. Pemotongan ini akan membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat dan dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai,” katanya.

Ismail Sabri berkata turut dimasukkan dalam rang undang-undang itu ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, boleh dengan kebenaran ketua negeri untuk menjadikan undang-undang ini terpakai di peringkat negeri menerusi pewartaan.

Perenggan 1 bertujuan untuk memasukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan berkenaan dengan fasal 6, iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi suatu Negeri, menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa bagi fasal itu dalam Negeri itu.

“Dalam erti kata lain, perenggan ini memberikan ruang kepada kerajaan negeri/Dewan Undangan Negeri untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata pertimbangan sewajarnya dan perbincangan lanjut dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti terhadap semua persoalan berbangkit berkaitan rang undang-undang itu.

Ia termasuk implikasi penggubalan peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan perkara itu kepada Ahli Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa Pilihan Khas juga menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik, antaranya The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia 5 Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).

“Kesemua input dan pandangan yang diterima daripada ahli-ahli Jemaah Menteri, NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik itu diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.