Larangan Ahli Dewan Rakyat Tukar Parti Pastikan Kestabilan Politik – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan itu juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili.

Beliau berkata pindaan yang mencatat sejarah besar negara itu adalah untuk melindungi mandat rakyat yang memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada Ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

“Selain itu, saya yakin rang undang-undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti, ‘lompat parti’, ‘defection’, ‘party jumping’ atau ‘floor crossing’ yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.

Justeru, bagi membuktikan keseriusan kerajaan dalam perkara itu Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri bersetuju merealisasikan pindaan perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Ismail Sabri berkata penggubalan rang undang-undang itu mengambil masa hampir setahun dan proses penggubalannya bukan mudah kerana melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

Katanya sokongan semua Ahli Parlimen kepada pindaan rang undang-undang itu amat penting memandangkan keperluan Fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen.

“Besarlah harapan saya agar rang undang-undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia. Rang undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Semoga rang undang-undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata rang undang-undang mengenai pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan bagi bacaan pertama pada mesyuarat khas Dewan Rakyat 11 April lepas, namun pindaan asal itu kemudiannya diteliti semula dari aspek penetapan dasar yang lebih jelas.

“Pendirian sidang Mesyuarat Majlis Khas Dewan Rakyat itu diambil perhatian, dan kerajaan berpendirian untuk menggubal peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, yang memenuhi ekspektasi semua pihak,” katanya.

Perdana Menteri berkata sidang sama seterusnya meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili pihak kerajaan dan pembangkang untuk membuat syor berhubung pindaan itu.

Katanya Jawatankuasa Pilihan Khas itu mengadakan tujuh siri mesyuarat dan perbincangan bermula 15 April hingga 12 Julai lepas, serta turut menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti politik.

Selain pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu, usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti turut dibentangkanuntuk dibahaskan bersekali dengan rang undang-undang itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.